Jual 400 mangkuk cendol sehari

A
A
A
SEBERANG JAYA - Sebanyak 1,300 mangkuk cendol diagihkan kepada orang ramai sempena meraikan ulang tahun ke-13 Best Said Cendol yang terletak di persimpangan Jalan Todak berhampiran Pasar Awam Sementara Seberang Jaya.

Program yang dianjurkan pasangan Mohd Faizal Said, 37, dan isterinya, Azlina Mohd Sharifudin, 37, adalah sebagai tanda meraikan pelanggan setia mereka dan penduduk di sekitar Seberang Jaya yang selama ini menyokong dalam memajukan perniagaan yang diusahakan sejak 2005 lalu.

Hanya menggunakan sebuah lori pikap dan beberapa khemah, kedai yang beroperasi setiap Selasa hingga Ahad itu menyajikan pelbagai jenis cendol.

Antara hidangan yang menjadi tarikan di gerai berkenaan seperti cendol durian (bermusim), cendol ais krim, cendol kacang dan cendol pulut.

Selain itu, gerai berkenaan juga menyediakan hidangan cendol istimewa yang dicampur dengan aneka bahan penyedap rasa seperti biji barli, agar-agar, sagu, lengkong, jagung, buah enau dan kacang.

Kesemua hidangan cendol di gerai berkenaan dijual bermula RM3 hingga RM10.

Pelanggan dari Singapura

Mohd Faizal berkata, dia mewarisi perniagaan ini daripada ibunya yang mengusahakan perniagaan ini di kawasan pasar malam sekitar Permatang Pauh sejak 1988 lagi.

Bagaimanapun, dia dan isteri mempelbagaikan hidangan cendol mengikut peredaran masa.
Artikel Berkaitan:


Menceritakan keunikan dan apa yang membezakan hidangan cendol yang disediakan di gerainya adalah kesemua bahan yang digunakan dibuat sendiri termasuk santan dan cendol hijau yang menggunakan beras basmathi.

"Penggunaan santan yang dibuat sendiri lebih enak dan tahan lama malah ada pelanggan kami yang sanggup datang dari Singapura demi untuk membawa pulang bungkusan cendol ke negara mereka.

"Cendol yang dibekukan boleh bertahan selama tiga hari dan masih mengekalkan citarasanya malah ada pelanggan yang memuji rasa cendol di sini kerana rasanya lebih berlemak," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hadir merasmikan majlis, Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Pengalaman hitam

Mengimbau kembali liku sepanjang mengusahakan gerai terbabit, Mohd Faizal berkata, untuk berada pada tahap sekarang dia dan isterinya terpaksa menempuhi pelbagai dugaan termasuk disaman beberapa kali oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berikutan atas pelbagai kesalahan.

Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perniagaan apabila mereka berjaya memperoleh lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan dalam tempoh lima tahun berniaga dan menjalankan perniagaan sehingga kini di tapak sama.

Dengan kekuatan lima pekerja, gerai yang dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang itu mampu menjual sebanyak 400 mangkuk cendol sehari kepada pelanggan mereka.

Sementara itu, Azlina berkata, pelbagai perancangan sedang diatur pihaknya dalam memperluaskan lagi jenama Best Said Cendol termasuk membuka peluang perniagaan francais kepada usahawan baharu yang mahu menjana pendapatan melalui perniagaan ini.

Katanya, selain akan memberikan khidmat latihan dan penyediaan bahan jualan, pihaknya juga mahu membuka peluang ini kepada golongan pelajar yang mahu mencari pendapatan sampingan dengan bermodalkan sekurang-kurangnya RM300 sahaja.

"Selepas 13 tahun beroperasi, perniagaan kami tidak lagi tertumpu hanya di tepi jalan sahaja malah kami juga sering mendapat jemputan untuk mengadakan jualan di pelbagai karnival dan majlis di sekitar negeri ini.

"Gerai dan produk keluaran kami ini telah mendapat pengiktirafan Bersih Selamat dan Sihat (BESS) yang diberikan Kementerian Kesihatan,"katanya.