Diskaun sehingga RM100 jika melancong dalam negara

Keluarga Malaysia yang melancong dalam negara akan diberi diskaun sehingga RM100. - Gambar hiasan
Keluarga Malaysia yang melancong dalam negara akan diberi diskaun sehingga RM100. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bagi menggalakan Keluarga Malaysia melancong di destinasi pilihan dalam negara, kerajaan memberikan insentif dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni sehingga RM100 kepad rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemberian insentif itu membabitkan peruntukan sebanyak RM25 juta.

Menurutnya, Hotel di Malaysia wajar memainkan peranan untuk memaparkan kraf tangan hasil pengusaha tempatan kepada pelancong.

"Hotel One and Only Desaru Coast Resort milik Khazanah Nasional Berhad merupakan hotel yang memaparkan 100 peratus hiasan daripada kraf tangan Malaysia.

"Bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan mengutamakan kraf tangan tempatan, kerajaan mencadangkan potongan cukai khas kepada hotel yang membeli produk kraf tangan tempatan dengan kos pembelian sehingga RM500,000," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Tengku Zafrul memaklumkan, sokongan berterusan kepada pengusaha industri pelancongan adalah amat penting.

"Wan Muhamad Ihsan yang membuka hotel kontena di Pulau Pangkor misalnya telah mendapat manfaat daripada pembiayaan pelancongan kerajaan untuk mengekalkan pekerja beliau semasa tempoh pandemik," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, bagi membantu pengusaha pelancongan, kerajaan bercadang untuk melaksanakan empat inisiatif iaitu pertama, Pembiayaan Pelancongan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan dana RM500 juta termasuk meningkatkan had pembiayaan maksimum daripada RM300,000 kepada RM500,00.

"Kedua, pengecualian cukai 100 peratus diberikan ke atas pendapatan berkanun bagi pengendali pelancongan yang membawa sekurang-kurangnya 200 pelancong asing setahun atau mengendalikan sekurang-kurangnya 400 pelancong tempatan.

"Ketiga, pengecualian duti eksais 50 peratus ke atas pembelian kenderaan pelancongan pemasangan tempatan (CKD) bagi kegunaan kereta sewa dan pandu serta bas persiaran," tambahnya.

Kata Tengku Zafrul menjelaskan, inisiatif keempat adalah elaun pelaburan semula bagi projek perhotelan dan pelancongan terpilih diperkenalkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.