Bajet 2023: Orang Asli terima peruntukan RM305 juta

Sebanyak RM305 juta disediakan untuk pembangunan masyarakat Orang Asli dalam Bajet 2023.
Sebanyak RM305 juta disediakan untuk pembangunan masyarakat Orang Asli dalam Bajet 2023.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM305 juta untuk masyarakat Orang Asli pada tahun 2023, iaitu meningkat berbanding RM274 juta pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan tersebut merangkumi antaranya program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup dan Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli.

“Bagi tahun hadapan, kerajaan akan melaksanakan Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli merangkumi kerja-kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit yang akan memanfaatkan lebih 2,100 Orang Asli antaranya di Kemaman, Terengganu; Bera, Pahang dan Gua Musang, Kelantan.

“Kerajaan juga akan mempergiat Program Pembangunan Usahawan Orang Asli bagi menyediakan bantuan peralatan perniagaan dan bimbingan keusahawanan kepada 550 Orang Asli," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Menurut beliau, Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini menyediakan peluang tajaan kepada 10 orang anak Orang Asli untuk menyambung pengajian tinggi di luar negara.

Selain itu katanya, yayasan di bawah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan turut menaja sekurang-kurangnya 10 orang anak Orang Asli menyambung pelajaran di luar negara.

“Ia bagi memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan ini menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Saudari Zainab Along, anak Orang Asli daripada suku Jakun telah melanjutkan pelajaran melalui kemudahan Mara, beliau berjaya merangkul Ijazah Sarjana Sains Gunaan di University of Plymouth dan seterusnya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang seni bina dari University of Newcastle,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: