Tiada kompromi terhadap anggota ATM terlibat jenayah

AFFENDI
AFFENDI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan 20 anggotanya disiasat polis berhubung dua kes rompakan di Semporna, Sabah pada 15 dan 18 Ogos lepas.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM akan memberikan kerjasama dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis.

Beliau menegaskan, ATM tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu melibatkan sebarang jenayah atau pelanggaran disiplin terutama dalam kalangan warga ATM.

"Ketegasan ini adalah penting kerana ia boleh mencemarkan imej ATM sebagai sebuah organisasi yang mendukung konsep integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

"Semua pihak juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan kes berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat memberitahu seramai 20 anggota tentera ditahan kerana disyaki terbabit dalam dua kes rompakan di laut di perairan Pulau Siamil dekat Semporna.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan dan suspek telah dijamin pada 25 September lepas dan kes masih dalam siasatan. - Bernama.

Artikel Berkaitan: