Cubaan seludup keluar 328kg daun ketum gagal

Pasukan 4 Rejimen Sempadan (4RS) menunjukkan motosikal dan daun ketum yang dirampas di kawasan semak berhampiran sempadan.
A
A

PADANG TERAP - Lima lelaki ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini ketika cuba menyeludup 328 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM31,000 ke negara jiran dalam dua kes berasingan, semalam.

Panglima Enam Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata kegiatan itu ditumpaskan pasukan 4 Rejimen Sempadan (4RS) di kawasan semak berhampiran sempadan Malaysia- Thailand.

Katanya, pada jam 7 pagi itu, pasukan yang diketuai Sarjan Sarman Mohamad terserempak dengan empat lelaki yang menunggang motosikal dengan membawa muatan lapan guni dan dua plastik lut sinar mengandungi 296kg daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM28,000.

"Terkejut dengan kehadiran pasukan berkenaan mereka yang masing-masing menunggang motosikal itu kemudiannya mencampakkan semua guni terbabit dan meninggalkan motosikal sebelum melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

"Kesemua motosikal terbabit juga tidak mempunyai nombor pendaftaran," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya keempat-empat lelaki berkenaan dipercayai orang tempatan yang mahu menyeludup ketum ke negara jiran berikutan permintaan dan harga yang tinggi di sana.

Sementara itu, seorang lagi lelaki ditahan dalam kejadian kedua pada jam 3 petang bersama tiga guni daun ketum seberat 32kg bernilai lebih RM3,000.

"Lelaki terbabit juga dipercayai orang tempatan dan turut menunggang motosikal seorang diri dengan membawa daun ketum," katanya.

Abd Aziz berkata kesemua suspek dipercayai berusia antara 25 hingga 30 tahun.

"Kita percaya penyeludup ini terpaksa menunggu hari dan masa yang sesuai untuk melakukan penyeludupan dan menyangka anggota keselamatan bercuti pada hari Ahad.

"Bagaimanapun, anggota ATM komited melaksanakan rondaan 24 jam setiap sehari bagi mengekang kejadian penyeludupan di sempadan," katanya.

Tambahnya, kesemua daun ketum dan motosikal yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.