Rakyat masih menaruh harapan pada TH

Tabung Haji, Kelana Jaya.
Tabung Haji, Kelana Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Rata-rata masyarakat masih lagi menaruh keyakinan dan harapan kepada Tabung Haji sebagai institusi kewangan Islam yang telah lama ditubuhkan di negara ini.

Pencarum Rosli Abdullah,57, berkata dia masih yakin dengan Tabung Haji dan akan tetap memilih institusi kewangan Islam itu.

"Saya akui ada sedikit rasa kecewa berhubung pengumuman hibah sebanyak 1.25 peratus baru-baru ini dan saya pasti semua pencarum merasakan perkara sama.

"Namun untuk saya mengeluarkan semua simpanan dalam Tabung Haji ia mungkin tidak berlaku kerana saya tetap mempercayai Tabung Haji sebagai institusi kewangan Islam di negara ini," katanya yang ditemui Sinar Harian di Tabung Haji, Kelana Jaya, hari ini.

Bagaimanapun, katanya pihak Tabung Haji diharapkan dapat memberikan penjelasan tentang situasi sebenar yang dihadapi.

"Sebagai pencarum saya nak tahu apa sebenarnya yang terjadi dan kenapa hibah yang diberikan terlalu sedikit? Saya percaya ramai yang mahukan penjelasan mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, pencarum, Ali Akbar,30, berkata Tabung Haji perlu mengemukakan penyata kewangan terkini kepada semua pencarum.

Artikel Berkaitan:

Tiada isu pencarum panik dan situasi masih seperti biasa di sekitar kawasan Tabung Haji, Kelana Jaya di sini.
Tiada isu pencarum panik dan situasi masih seperti biasa di sekitar kawasan Tabung Haji, Kelana Jaya di sini.

"Saya datang ke Tabung Haji ini untuk keluarkan sedikit simpanan, bukan semua, sebab nak guna wang sedikit.

"Tentang soal keyakinan kepada Tabung Haji saya harap Tabung Haji dapat keluarkan satu penyata kewangan, terangkan kepada semua pencarum mengenai untung rugi dan sebagainya," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di pejabat Tabung Haji di sini mendapati keadaan sama seperti hari biasa dan tidak timbul isu panik seperti mana yang digembar-gemburkan.

Menurut sumber, isu hibah yang melanda institusi kewangan Islam di negara ini tidak menjejaskan pencarum dan urusan di setiap cawangan Tabung Haji tetap berjalan seperti biasa.

"Tidak ada perubahan dan situasinya memang seperti hari-hari sebelum ini malah masih ramai yang datang untuk membuat simpanan dalam akaun Tabung Haji," katanya.

Terdahulu, 7 April lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan sekeras-kerasnya laporan berita yang ditular melalui media sosial bahawa cawangannya di Bachok, Kelantan, kehabisan wang tunai.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata laporan berita itu adalah fitnah semata-mata dan operasi Tabung Haji berjalan seperti biasa dengan tiada trend pengeluaran wang tunai luar biasa dilaporkan.