Remaja edar dadah berdepan penjara seumur hidup

Tertuduh berbaju lokap tidak mengaku salah mengedar heroin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh berbaju lokap tidak mengaku salah mengedar heroin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 25.19 gram pada 1 April lalu.

Bagaimanapun tertuduh Muhammad Irfan Syazwan Zulkifli, 19 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar bahan terlarang itu di belakang sebuah kedai di Jalan Besar Kuala Berang, Hulu Terengganu, pada jam 12.20 tengah hari.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup dan dikenakan sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Mahkamah menetapkan 8 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan lengkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, tertuduh ditahan ketika menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan menghantar barang terlarang itu kepada pelanggannya.

Artikel Berkaitan: