RUU wakaf akan dibentang di Parlimen akhir tahun ini

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang undang-undang untuk mewujudkan akta wakaf dijangka dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini bagi bertujuan menguruskan dana sumbangan itu secara lebih baik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata draf rang undang-undang itu telah siap dan kini sedang diteliti oleh pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kewangan (MoF).

“Kita perlu berbincang dengan semua pihak berkepentingan, melibatkan MoF dan peringkat negeri memandangkan sebelum ini tiada garis panduan jelas (mengenai wakaf) malah negeri mempunyai enakmen yang berbeza, ini menimbulkan kerumitan mengenai kaedah pengumpulan dana selain untuk memastikan integriti berkaitan wakaf.

“Susulan itu, kita perlu menstandardkan pelaksanaan (pengurusan) dana wakaf,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Perancangan Kewangan dan Pengurusan Kekayaan Islam ke-6 di sini, hari ini.

Persidangan itu dianjurkan oleh Majlis Perancangan Kewangan Islam (MFPC).

Fuziah berkata Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) sedang mempertimbang rebat cukai bagi wakaf.

“Kita sedang berbincang dengan MoF mengenai perkara berkenaan. Sebelum ini, aspek wakaf tidak diteroka keseluruhannya.

“Kita perlu lihat apa yang boleh dilaksanakan supaya rebat cukai dapat diberikan ke atas wakaf selain zakat...sama ada kita perlu mewujudkan satu undang-undang (baharu) atau meminda mana-mana undang-undang (berkaitan). Ini memerlukan masa dan proses yang ajak panjang memandangkan ia melibatkan banyak aspek teknikal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berharap rang undang-undang itu dapat dibentangkan di Parlimen sama ada akhir 2019 atau awal 2020.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata pihaknya juga merancang untuk mewujudkan pelan induk pembangunan sosioekonomi khusus bagi golongan asnaf (penerima yang layak), untuk mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Kita menetapkan beberapa Petunjuk Prestasi Utama tahun ini bagi Jawhar, dengan dua hingga empat peratus golongan asnaf akan diupayakan agar dapat keluar daripada status asnaf setiap tahun,” katanya.

Buat masa ini, beliau berkata, pasukan yang bertanggungjawab masih di peringkat awal dalam merangka pelan induk tersebut. - Bernama