KPM nafi laporan pinggir bahasa Tamil

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah menafikan hak murid kaum India untuk mempelajari bahasa Tamil di peringkat menengah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini susulan laporan akhbar Malaysia Nanban pada 5 April bertajuk “Mengapakah Bahasa Tamil dipinggirkan” yang disifatkan KPM sebagai tidak berasas, kementerian itu berkata mata pelajaran bahasa Tamil ditawarkan sebagai mata pelajaran tambahan kepada murid yang berminat untuk mempelajari bahasa tersebut di sekolah menengah kebangsaan (SMK).

“KPM tidak pernah melaksanakan dasar mendiskriminasi pendidikan mana-mana bahasa ibunda dalam sistem pendidikan di Malaysia dan sentiasa memastikan mata pelajaran bahasa ibunda dilaksanakan dengan berkesan dan berkualiti,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, pelajar yang mengambil atau menduduki peperiksaan Bahasa Tamil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan peningkatan daripada 8,107 calon pada 2012 kepada 9,479 orang tahun lepas.

Bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pula, bilangan pelajar yang mengambil atau menduduki peperiksaan Bahasa Tamil menurun daripada 731 calon pada 2012 kepada 686 calon pada 2018, katanya.

KPM berkata pengkhususan bidang Bahasa Tamil Sekolah Rendah turut ditawarkan pada peringkat Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru bagi melatih guru dalam kesusasteraan Bahasa Tamil serta kaedah dan pembelajaran bahasa Tamil.

“PISMP bagi pengkhususan bidang Bahasa Tamil Sekolah Rendah juga ditawarkan bagi melatih guru-guru Bahasa Tamil untuk ditempatkan di sekolah kebangsaan (SK) bagi mengajar murid-murid keturunan India yang belajar di SK serta murid-murid daripada pelbagai keturunan yang minat untuk mempelajari bahasa Tamil,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: