Tok Mat tak pernah bercita-cita jadi Presiden UMNO

Mohamad pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN, hari ini. -Foto Sinar Harian
Mohamad pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN, hari ini. -Foto Sinar Harian
A
A
A

SEREMBAN - Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi Presiden UMNO.

Timbalan Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Presiden itu berkata, ketika ini fokus beliau hanyalah mencari strategi untuk memperkukuhkan parti.

"Saya tak pernah bercita cita nak jadi Presiden UMNO. Kalau saya nak, masa pemilihan UMNO saya dah bertanding dan mungkin saya boleh menang.

"Saya aktif semula dalam UMNO ini sebab nak bersama-sama memperkasakan parti. Dua perkara saya nak buat ialah kuatkan parti dan menyediakan parti untuk PRU15," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di sini, hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meramalkan Mohamad tidak akan menjadi Presiden UMNO.

Mohamad berkata, Anwar tidak perlu sibuk dengan hal dalaman UMNO.

"Apa dia sibuk-sibuk pula saya tak jadi Presiden UMNO? Dia tak perlu sibuk pasal UMNO," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat sindir kerajaan PH

Artikel Berkaitan:

Mengulas dakwaan Anwar bahawa ada pemimpin UMNO berjumpanya untuk 'berunding', Mohamad menganggapnya sebagai perkara biasa dalam politik.

"Itu biasalah dalam politik banyak katak lompat sana lompat sini, orang nak beli insurans siang-siang, nak buat macam mana. Saya tak hairan kalau Anwar kata ada orang UMNO nak jumpa dia.

"Nasib baik saya tak jumpa dia, kalau jumpa pun saya nak ajak minum teh tapi tak ada kesempatan. Kalau tidak, mesti dia kata saya jumpa dia sebab nak masuk PKR," katanya.