Bengang premis diarah tutup, lelaki ugut ahli majlis

Pemilik terbabit mengugut dan memaki hamun Jacky ketika beliau bersama anggota penguat kuasa MPK turun padang selepas menerima aduan penduduk.
Pemilik terbabit mengugut dan memaki hamun Jacky ketika beliau bersama anggota penguat kuasa MPK turun padang selepas menerima aduan penduduk.
A
A
A

KLANG – Hanya kerana premis perniagaan mencuci kereta dijalankan 20 tahun lalu diarahkan tutup, seorang lelaki 'naik hantu' dan bertindak mengugut Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam kejadian di Taman Klang Utama, Jumaat lalu.

Ahli Majlis MPK, Jacky Ng Chee Eng berkata, beliau bersama anggota penguat kuasa MPK turun padang selepas menerima aduan berhubung premis terbabit yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk di taman perumahan berhampiran.

Katanya, pihaknya sudah memberikan notis kepada pemilik premis terbabit untuk menghentikan operasi, pada September tahun lalu.

“Namun pemiliknya masih berdegil dan kita sekali lagi turun padang untuk meninjau keadaan dan menyerahkan notis kepada pemiliknya untuk menghentikan operasi kerana saya menerima banyak aduan.

“Penduduk mengadu kewujudan premis mencuci kereta haram itu menyebabkan kacau ganggu kerana lokasinya begitu hampir dengan rumah mereka.

“Pemilik premis itu bertindak meletakkan kenderaan berat yang dicuci di kawasan perumahan terbabit hingga menyusahkan penghuni taman,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebagai Ahli Majlis MPK, beliau bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah penduduk.

“Bagaimanapun, ketika saya dan penguat kuasa datang dan memaklumkan mengenai aduan berkenaan kepada pemilik premis itu, tiba-tiba sahaja lelaki terbabit naik angin dan marah-marah sebelum memaki saya dengan kata-kata kesat.

Artikel Berkaitan:

“Dia juga mengugut untuk ‘potong’ (bunuh) saya dan menuduh saya memandai-mandai serta sengaja menimbulkan isu kerana lelaki itu mendakwa, dia tidak pernah menerima sebarang aduan sejak 20 tahun menjalankan perniagaan di situ,” katanya.

Tambah Jacky, walaupun diugut, beliau tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya faham, mungkin lelaki itu dalam keadaan beremosi dan tidak sedar apa yang dikatakan. Bila orang tengah marah, apa sahaja boleh dia cakap.

“Mungkin dia marah sebab bimbang sumber pendapatannya akan terjejas sebab itu saya ambil jalan untuk berdiplomasi dengannya dan memberi masa untuknya menutup perniagaan terbabit.

“Jadi dia bersetuju dan meminta tempoh enam bulan untuk merobohkan kedai terbabit. Kita juga ada mencadangkan kepadanya untuk menjalankan perniagaan itu di kawasan industri berhampiran,” katanya.

Terdahulu, video lelaki terbabit mengugut ahli majlis terbabit tular di grup WhatsApp.

Individu itu dilihat memaki hamun dan mengugut mahu ‘memotong’ (bunuh) ahli majls itu.

Kata Jacky, kejadian itu kali pertama berlaku selepas beliau dilantik menjadi Ahli Majlis MPK sejak 2018.

“Namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat di Klang,” katanya.