Ahli perniagaan, Gnanaraja berdepan 68 pertuduhan Amla

Ahli perniagaan, G. Gnanaraja berjalan keluar dari mahkamah Sesyen selepas pembacaan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram. - Foto Sinar Harian oleh Rosli Talib
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ahli perniagaan, G. Gnanaraja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 68 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM11.4 juta dua tahun lalu.

Bagaimanapun Gnanaraja, 38, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Tertuduh pada minggu lalu telah didakwa atas kesalahan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-68, Gnanaraja didakwa mengguna dan melupuskan wang hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM11.4 juta dari akaun bank Syarikat Bumi Muhibah Capital melalui cek kepada dua organisasi, 26 buah syarikat berlainan serta 10 individu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan KLCC, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di sini antara 28 Julai 2017 hingga 18 Januari 2018.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan serta satu cagaran hartanah dengan dua penjamin bernilai RM825,000.

"Pihak pendakwaan memohon supaya kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam memandangkan tertuduh sebelum ini telah didakwa tiga kes kesalahan sama, " kata Allan.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh tidak membuat sebarang bantahan berhubung isu jaminan.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 6 Mei depan.

Pada 3 April lalu, ahli perniagaan terbabit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu seorang individu membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan siasatan projek meja terowong dasar laut di Pulau Pinang, dua tahun lalu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia