Anggota trafik maut kemalangan

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. (Gambar kecil: Gambar Allahyarham Mohd Faizal (kiri) bersama rakan-rakan ketika bertugas.)
A
A

KLANG – Seorang anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabit dalam kemalangan di Batu 2, Jalan Kapar, dari arah Klang menghala ke Kapar, di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu mengorbankan Lans Koperal Mohd Faizal Md Yusuf, 38, di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nuruhuda Mohd Salleh berkata, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan bergesel dengan pembahagi jalan sebelah kanan.

“Mangsa terjatuh dan kepalanya dipercayai terhentak pada tiang papan tanda yang berada di tengah-tengah pembahagi jalan.

“Mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat arwah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, mangsa sedang bercuti sakit kerana terlibat dalam kemalangan pada 25 Februari lalu.

“Allahyarham sedang cuti sakit sehingga 13 April ini berikutan tulang kakinya retak selepas terlibat dalam kemalangan, baru-baru ini.

“Ketika kejadian, beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar bersama keluarga, namun sewaktu pulang isterinya menaiki kereta dan beliau menunggang motosikal miliknya yang diambil di Bandar Klang,” katanya.

Nurulhuda berkata, siasatan mendapati keadaan jalan di lokasi kejadian adalah jalan lurus sehala, gelap selain kering dan rata.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ ) 1987,” katanya.

Tambah beliau, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak berusia lapan dan dua tahun.

“Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 4, Jalan Kapar selepas solat Asar nanti,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia