Piala Emas Raja-Raja edisi 100 singkap tirai

Juara Piala Agong, Kuala Lumpur antara pasukan pilihan menjulang kejuaraan Piala Emas Raja-Raja 2022. - Foto PBSMM
Juara Piala Agong, Kuala Lumpur antara pasukan pilihan menjulang kejuaraan Piala Emas Raja-Raja 2022. - Foto PBSMM
A
A
A

PIALA Emas Raja-Raja, kejuaraan bola sepak kedua tertua negara selepas Piala Malaysia memasuki usia ke 100 tahun penganjurannya menyingkap tirainya pada Sabtu.

Malah menurut Bendahari Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Yusri Abd Hamid, aura kemeriahan kejuaraan itu telah pun dirasai baru-baru ini ketika perlawanan Piala Agong, Kuala Lumpur menentang Pahang.

"Saingan Piala Emas Raja-Raja kembali menghangatkan arena bola sepak negara tahun ini, selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan akibat pandemik Covid-19.

"Sebanyak 13 pasukan negeri dalam kalangan ahli gabungan PBSMM dan tiga pasukan jemputan termasuk Bomba dan MySPRM-ACe10, juga akan membuat penampilan pertama dalam Piala Emas Raja-Raja bermula 1 Oktober ini dengan perlawanan akhir dijadual pada 12 November.

"Format kejuaraan kali ini juga meletakkan had usia 25 tahun ke bawah dengan maksimum lima saja pemain lebih usia dibenarkan direkrut pasukan," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Jelas Yusri lagi, saingan kali ini juga telah menyaksikan 16 pasukan dipecahkan kepada empat zon.

"Zon Utara membabitkan pasukan Perlis, Kedah, Penang dan Perak, manakala Zon Tengah pula Selangor, Kuala Lumpur, PDRM dan MySPRM-ACe10.

"Zon Selatan pula menyaksikan Negeri Sembilan, Melaka, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TNB FC, manakala Zon Timur pula membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Bomba Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Kuala Lumpur muncul juara Piala Agong selepas menewaskan Pahang 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, 18 September lalu.

PIALA EMAS RAJA-RAJA 2022

SABTU (1 OKTOBER)

TNB FC lwn Negeri Sembilan ASJ Teguh

(Std Kilat Bangsar, 4.15 petang)

Melaka lwn ATM

(Std Hang Tuah, 4.15 petang)

Bomba Malaysia lwn Pahang

(Std Bola Sepak Kuala Lumpur, 4.15 petang)

Jakim Terengganu lwn Kelantan

(Std Sultan Muhammad IV, 4.15 petang)

MySPRM-ACe10 lwn Selangor

(Std USIM, 4.15 petang)

PB PDRM lwn Kuala Lumpur

(Padang Pulapol, 4.15 petang)

Perak lwn Perlis

(Padang PCRC, 4.15 petang)

AHAD (2 OKTOBER)

Kedah lwn Pulau Pinang

(Std Mini UUM, 8.30 malam)