Awang Din Ketua Polis Kuching baharu

No Image Caption
A
A
A

KUCHING – Bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Tanah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Awang Din Awang Ghani hari ini memulakan tugas sebagai Ketua Polis Kuching yang baharu dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Beliau mengambil alih daripada Superintendan Ismail Ismail Mahmood yang memangku jawatan Ketua Polis Kuching setelah persaraan wajib Asisten Komisioner Ng Ah Lek pada Mac tahun ini. Ismail merupakan timbalan ketua polis daerah itu.

Majlis serah tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Daerah Kuching telah disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Awang Din yang berasal dari Kuching, Sarawak telah berkhidmat selama 28 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semenanjung sebelum kembali ke tempat asal.

Awang Din berkata, sesungguhnya mengalas tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah adalah amat berat namun beliau akan memastikan ketenteraman dan keamanan di daerah ini akan terus dikekalkan sepanjang perkhidmatannya.

“Pada saya jawatan yang diterima ini merupakan satu kepercayaaan dan amanah dari pucuk kepimpinan PDRM, dalam erti kata lain pangkat datang beserta dengan tanggungjawab.

“Walau seberat mana tugas yang digalas, ianya boleh diringankan dengan bekerja sebagai satu pasukan dan justeru saya mengharapkan kerjasama daripada semua pegawai serta kakitangan yang telah lama bertugas di daerah ini, ” katanya ketika berucap pada majlis serah tugas. - Bernama

Artikel Berkaitan: