Ekonomi negara kembali bernyawa, Bajet 2022 menampakkan hasil

Ekonomi negara kembali bernyawa susulan pembukaan semula semua sektor terutama pelancongan.
Ekonomi negara kembali bernyawa susulan pembukaan semula semua sektor terutama pelancongan.
A
A
A

SHAH ALAM - Bajet 2022 yang keseluruhannya bernilai RM332.1 bilion dilihat mampu memacu semula ekonomi negara yang malap akibat pandemik Covid-19 dua tahun lalu. Momentum ekonomi kini dilihat bergerak ke hadapan malah semakin berkembang.

Fasa peralihan ke endemik dan pembukaan sempadan negara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadikan sasaran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini lebih realistik.

Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sektor perkilangan yang berkembang lebih daripada 12 peratus ditambah dengan kepesatan sektor pertanian yang kembali bertapak selepas pandemik membuktikan usaha kerajaan memacu ekonomi menerusi Bajet 2022 menampakkan hasilnya.

Beliau berkata, sektor pelancongan pada 2018 menyumbang sehingga 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia boleh dicapai tahun ini selepas sempadan negara dibuka semula.

“Sektor pelancongan dijangka akan memberi sumbangan penting pada tahun 2022 ditambah dengan bajet RM1.6 bilion untuk Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac).

AHMED RAZMAN
AHMED RAZMAN

“Ia meningkat sebanyak 6.5 peratus berbanding tahun lalu (2021 - RM1.14 bilion). Bajet ini sebagai tanda sokongan dan komitmen berterusan kerajaan untuk menjadikan industri pelancongan, seni dan budaya tempatan kembali hebat.

"Sektor pelancongan ini agak unik, apabila sempadan negara ditutup, 80 peratus daripada industri ini lenyap dan kini secara perlahan-lahan pelancongan dalam negara meningkat sehingga 60 peratus,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pembukaan sempadan antarabangsa juga akan membawa kemasukan kembali pelancong luar.

“Melalui sektor pelancongan, ramai pekerja tempatan yang tidak mahir bekerja dan keseluruhan rantaian nilai sektor pelancongan akan menerima impak positif seperti industri penerbangan dan perhotelan, selain sektor peruncitan, makanan dan minuman serta industri perkhidmatan berkaitan," ujarnya.

Nasib PKS terbela

Sementara itu, Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Bajet 2022 terbukti memberi harapan baharu kepada usahawan untuk meneruskan perniagaan mereka.

“Bajet tambahan termasuk moratorium yang diberi dari semasa ke semasa membuktikan kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) cukup cakna dalam memastikan nasib usahawan PKS terus terbela,” katanya.

BARJOYAI
BARJOYAI

Beliau menambah, Bajet 2023 yang bakal diumumkan pada 7 Oktober ini adalah bajet terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bajet kali ini diharap dapat membantu usahawan malah kita harap tidak akan ada pengurangan dari segi bantuan insentif seperti yang diumumkan pada Bajet 2022.

“Malaysia mempunyai peniaga PKS melebihi 90 peratus daripada jumlah perniagaan tetapi sumbangan mereka agak kecil iaitu 40 peratus daripada KDNK.

“Walaupun tumpuan lebih kepada perniagaan skala besar, namun dalam jangka panjang sebenarnya PKS mampu memacu ekonomi kerana ia turut mewujudkan hasil KDNK,” katanya.

Menurut Barjoyai, 60 peratus tenaga kerja dalam PKS mampu memacu pertumbuhan peniaga kecil ataupun keusahawanan.

Malah katanya, PKS mampu menggalakkan bidang keusahawanan selepas menarik keluar sebahagian daripada kumpulan pekerja.

No Image Caption

“Kumpulan pekerja di Malaysia terlampau ramai melebihi 15 juta yang berkemungkinan menjadi punca produktiviti kita dilihat agak rendah.

“Jika kumpulan pekerja ini menjadi peniaga atau usahawan, ia bakal mewujudkan bidang baharu dan sumber baharu pertumbuhan.

“Ekonomi kita sedang pulih, jadi kita bakal menuju puncak dalam lonjakan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun 2025 dan 2026 ditambah dengan eksport tempatan, terutama dalam sektor perkilangan serta elektrik dan elektronik dalam rantaian bekalan global untuk meningkatkan semula tahap daya saing dan tahap produktiviti,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, cabaran perlu dihadapi apabila berlaku kegawatan ekonomi dunia yang memberi kesan ke atas ringgit dengan harga barangan import yang meningkat.

Proses pemulihan

Dalam pada itu, Profesor Ekonomi, University College i CATS, Kuching, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ekonomi negara masih dalam proses pemulihan.

Menurutnya, walaupun angka pertumbuhan dilihat memberangsangkan, namun realitinya masih ada yang terkesan terutama dalam kalangan usahawan.

SHAZALI ABU
SHAZALI ABU



“Pelancongan adalah sektor yang perlu diberi tumpuan kerana infra dalam sektor ini telah tersedia terutama melibatkan hotel, tempat makan dan cenderamata.

“Kita perlu memudahkan pelancong yang ingin datang ke Malaysia sebagai contoh menggunakan visa dalam talian yang boleh diperbaharui selepas enam bulan,” kata beliau.

Selain itu katanya, pelancongan pelajaran juga penting kerana negara mempunyai enam universiti ternama di Asia Tenggara yang keseluruhannya mempunyai 200,000 pelajar asing.

“Selepas ini kerajaan boleh utamakan promosi untuk dapat lebih ramai pelajar asing menyambung pelajaran di peringkat sarjana dan PHD kerana ia bukan sahaja meningkatkan pendapatan pelancongan apabila mereka berbelanja tetapi meningkatkan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport,” jelasnya.

Pemulihan ekonomi tahun 2022 berada di landasan kukuh. KDNK pada Harga Malar (2015) - perubahan tahunan:

2019 (4.4%)

2020 (-5.5%)

2021 (3.6%)

1Q-22 (5.0%)

2Q-22 (8.9%)

KDNK di landasan untuk mencapai atau menjangkaui unjuran 5.3% - 6.3% bagi tahun 2022.