Tak mengaku salah terima suapan dapatkan diploma

Tertuduh mengaku tidak bersalah terima suapan untuk mendapatkan diploma palsu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terima suapan untuk mendapatkan diploma palsu.
A
A
A

MELAKA - Seorang eksekutif jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, atas tuduhan menerima suapan bagi urusan sijil diploma palsu, tahun lalu.

Tertuduh, C Vijayakumar, 34, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, C Vijayakumar didakwa secara rasuah menerima suapan untuk diri sendiri wang tunai berjumlah RM500 di Public Bank daripada Muhamad Amir Safwan Rusli sebagai upah untuk tertuduh mendapatkan sijil Diploma Pentadbiran Perniagaan di sebuah universiti swasta, atas nama Mohd Amirul Hakim Rusdi tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

Kesalahan itu dilakukan jam 4.39 petang, pada 19 Januari 2018 di Public Bank Bhd di Taman Melaka Raya.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM5,000 dikenakan dengan seorang penjamin.

Namun, tertuduh yang diwakili Peguam Bela Syed Amirul Syed Edros memohon jaminan rendah kerana tertuduh tidak lagi bekerja dan mempunyai banyak lagi pertuduhan lain di Shah Alam serta Kuala Lumpur.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Nasir menawarkan tertuduh jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan esok untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengarahkan sebutan semula kes dipindah ke Mahkamah Shah Alam.

Sinar Harian pada 4 April lalu, melaporkan seorang eksekutif jualan dihadapkan ke mahkamah sesyen buat kali keempat atas pertuduhan memberi suapan bagi mendapatkan Diploma Pentadbiran Perniagaan di sebuah universiti swasta tanpa mengikut prosedur pada Januari tahun lalu.