[VIDEO] Calon PM untuk PH lebih jelas

Anis Anwar Suhaimi
Anis Anwar Suhaimi
A
A
A

SHAH ALAM - Calon perdana menteri daripada PH lebih jelas berbanding calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, perkara tersebut adalah trend dapatan kaji selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 setakat ini.

Menurutnya, hal itu dipercayai dipengaruhi oleh perebutan kuasa dalaman parti yang sedang berlaku dalam BN dan PN.

"Dahulu apabila sebuah kerajaan atau BN ketika itu menjadi kerajaan dalam 60 tahun, kekuatan mereka adalah mereka ada satu bayangan atau struktur pentadbiran yang jelas, siapakah calon perdana menteri yang akan ditawarkan pada PRU seterusnya.

"Waktu itu barisan pembangkang belum capai kata sepakat. Maka itulah isu yang sering digunakan untuk melawan kepada pembangkang siapakah tawaran perdana menteri yang mereka boleh calonkan.

"Tapi hari ini agak terbalik apabila pembangkang bermula daripada Pakatan Rakyat (PR), mereka sudah mula ada satu kesefahaman dan ini diteruskan pada Pakatan Harapan (PH). Oleh itu mereka ada satu nama yang jelas, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Oleh itu bila kita buat kaji selidik, kita menamakan seramai mungkin pemimpin nasional. Ketika ini kita lihat bahawa pengundi PH jelas, siapakah pemimpin yang mereka akan dapat jika parti mereka menang," katanya ketika menjadi panelis dalam Program Sinar Live ‘Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15’ disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Progam dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar dan Fahiz Ariff itu turut menampilkan Pengarah Eksekutif ILHAM ACentre, Hisommudin Bakar dan Pengerusi Pusat Kajian Sosial & Polisi, Tun Tan Cheng Lock, UTAR, Profesor Madya Dr. Chin Yee Mun sebagai panelis.

Artikel Berkaitan:

Program Sinar Live ‘Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15’ pada Khamis menampilkan Hisommudin (dua dari kiri), Anis Anwar (tiga dari kiri) dan Dr. Chin Yee Mun sebagai panelis.
Program Sinar Live ‘Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15’ pada Khamis menampilkan Hisommudin (dua dari kiri), Anis Anwar (tiga dari kiri) dan Dr. Chin Yee Mun sebagai panelis.

Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 merupakan kaji selidik yang dijalankan oleh ILHAM Centre, O2 Research dan Centre for Malaysian Chinese Studies dengan kerjasama lima organisasi media iaitu Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star, Astro AWANI dan Malaysia Nanban bermula pada 19 September hingga 9 Oktober depan.

Anis Anwar menjelaskan, keadaan berbeza dengan pengundi-pengundi BN dan PN apabila jawapan dalam dapatan kaji selidik adalah lebih pragmatik.

"Persaingan kuasa jawatan dalam kerajaan dan jawatan dalam parti (BN) itu bergerak seiring. Kerana itu, 'poster boy' atau perdana menteri yang mereka wakilkan itu tidak mampu diangkat dengan jelas," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan responden tidak perlu khuatir berhubung data yang diberikan kerana data bagi kaji selidik berkaitan kecenderungan pengundi ini tidak bersifat peribadi.

"Bagi badan penyelidik, kita tertakluk pada etika penyelidikan salah satunya berkaitan data peribadi. Kajian politik tidak memerlukan data bersifat peribadi umur dan lokasi sudah cukup untuk membantu persampelan," katanya.