X

Kindly register in order to view this article
!

Bina pusat perlindungan anjing liar

Kamalludin (lima dari kiri) sewaktu mengadakan pertemuan bersama Persatuan Perlindungan dan Penyelamat Haiwan Batu Pahat.
A
A

BATU PAHAT - Sebuah pusat perlindungan sementara anjing liar akan dibina di daerah ini bagi menempatkan haiwan tersebut sebelum tindakan selanjutnya diambil dalam memastikan masalah berkaitan diatasi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Kamalludin Jamal berkata, usaha membina pusat perlindungan sementara tersebut mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Perlindungan dan Penyelamat Haiwan Batu Pahat.

“Sehingga Februari tahun ini, MPBP menerima sebanyak 31 aduan anjing liar sama ada anjing terbiar, anjing mengejar, menggigit orang awam serta kacau ganggu anjing jiran berbanding hanya sebanyak 79 aduan dari Januari hingga Disember 2018.

“Sebelum ini, anjing yang ditangkap diserahkan ke Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV), memandangkan tiada pusat perlindungan bagi haiwan terbabit di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan bersama Persatuan Perlindungan dan Penyelamat Hidupan Batu Pahat di Bilik Mesyuarat MPBP di sini, semalam.

Menurutnya, fungsi utama pusat perlindungan tersebut sebagai tempat sementara untuk anjing liar sebelum menjalani proses suntikan, pemandulan dan mencari ‘keluarga angkat’.

“Sebenarnya, usaha untuk menangkap anjing liar ini bukan sahaja selepas menerima aduan daripada orang ramai tetapi ini arahan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Arahan ini dikeluarkan setelah tularnya wabak rabies berpunca daripada haiwan terbabit yang menyebabkan kegusaran di kalangan penduduk terutama pembayar cukai di kawasan MPBP,” katanya.

Jelasnya, walaupun kes anjing liar di kawasan pentadbiran MPBP tidak serius, beliau berpendapat adalah lebih baik pelaksanaan langkah pencegahan diambil sebelum keadaan bertambah teruk.

Beliau juga berterima kasih kerana ada NGO yang mahu bekerjasama dengan MPBP untuk menangkap seterusnya meletakkan anjing liar ini di pusat perlindungan.

“Kerjasama ini merangkumi kebajikan haiwan, yang mana sekiranya wujud penganiayaan sama ada dibela atau sebaliknya, aduan akan dilakukan dan didakwa mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf