Rantau ukuran agenda politik Cina

A
A
A

PILIHAN Raya Kecil (PRK) DUN Rantau pasti tidak perlu diadakan jika calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram mematuhi 'peraturan kecil' Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar calon dan wakil calon mendapatkan pas masuk ke tempat penamaan calon pada pilihan raya umum lalu.

Pegawai Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub ketika itu memutuskan Streram, pencadang dan penyokong beliau tidak boleh masuk ke pusat pencalonan kerana kesemua mereka tidak mempunyai pas SPR yang sepatutnya ditunjukkan oleh calon.

Apabila Streram membawa kes itu ke mahkamah, Hakim Datuk Azimah Omar menyatakan tindakan menghalang calon masuk ke pusat penamaan kerana tiada pas masuk adalah tidak sah.

Menurut Azimah, berdasarkan keterangan bertulis SPR, “tidak wujud sebarang undang-undang dan peraturan pilihan raya yang menyatakan ‘tag’ nama atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk masuk ke dalam dewan penamaan calon bagi mengemukakan borang penamaan.”

PRK DUN Rantau kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, R Malar (Bebas), Mohd Nor Yassin (Bebas) dan Streram daripada PKR.

Persoalan utama ialah apakah Mohammad atau lebih popular dengan panggilan Tok Mat, dapat mempertahankan kerusi DUN Rantau yang telah beliau sandang sejak 2004 lalu?

Jika berlaku pertandingan pada PRU lalu, Tok Mat pasti menang mudah namun PRK kali ini memberi dimensi berbeza kerana BN bukan lagi kerajaan dan Tok Mat bukan lagi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Walaupun PRK Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih membuktikan lambang BN belum padam seperti yang cuba digambarkan pihak lawan, suasana di Rantau berbeza.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan BN di Cameron Highlands dan Semenyih tertumpu kepada agenda Bumiputera dan Islam, dan ia sukar diterjemahkan sepenuhnya dalam DUN Rantau.

Ini kerana berdasarkan komposisi kaum 20,472 pengundi di Rantau, pengundi Bumiputera hanya 54.18 peratus (Melayu 53.43 peratus dan orang asli 0.75 peratus). Pengundi India kedua teramai dengan 27.01 peratus dan Cina 18.81 peratus.

Jika berdasarkan keputusan enam PRK sebelum ini, hampir 95 peratus pengundi Cina terlalu taksub kepada DAP. Justeru, tidak banyak harapan boleh BN letakkan kepada pengundi Cina.

Aura Tok Mat

Di bawah pentadbiran Tok Mat, bukan sahaja masjid dinaik taraf malah kuil Hindu Sendayan dan SJKT Ladang Sagga, Ladang Bukit Bertam dan Ladang Shanghai turut dipermodenkan.

Masyarakat Cina paling banyak meraih untung daripada pembangunan yang dibawa oleh Tok Mat termasuklah pemodenan bandar Sendayan.

Seperti tulisan Ketua Pemuda MIC Negeri Sembilan, Ramis Balakrishnan, “Masyarakat India tidak dapat menafikan sumbangan Mohamad dalam pelbagai perkara termasuk pemberian tanah kepada kuil, pemberian tanah kepada sekolah Tamil dan juga isu kebajikan. Kerajaan di bawah kerajaan BN dulu yang diketuai Mohamad tidak meminggirkan kaum India dan juga kaum lain, malah membantu menyelesaikan setiap masalah mereka dengan sedaya upaya."

Boleh dikatakan semua kaum di Rantau menerima tempias pembangunan yang dibawa oleh Tok Mat. Berdasarkan komposisi kaum, Tok Mat sendiri meletakkan peluang beliau untuk menang hanya 50 peratus. Namun melihat dokongan pengundi masyarakat Bumiputera di beberapa PRK lepas, tidak mustahil kemenangan untuk BN.

Ini kerana dalam setiap PRK, jumlah keluar mengundi hanya di bawah 75 peratus. Jika jumlah pengundi Bumiputera yang keluar mengundi jauh lebih ramai daripada masyarakat Cina dan India, Tok Mat berpeluang untuk menang.

Masyarakat Cina sering melaungkan bahawa mereka bersatu mengundi PH pada PRU lalu kerana mahu membanteras rasuah bukannya untuk menghakis kedudukan Bumiputera dan Islam di negara ini.

Jika itu alasan yang sebenar maka tiada sebab untuk mereka tidak mengundi Tok Mat. BN telah tumbang, Datuk Seri Najib Razak sedang didakwa dan PH sudah menjadi parti memerintah.

Kemenangan Tok Mat tidak akan mengubah kerajaan pun tetapi ia akan memperkukuhkan agenda semak dan imbang (check and balance) dalam pentadbiran kerajaan baharu.

DUN Rantau ini bukan sekadar pemilihan wakil rakyat tetapi juga ukuran sejauh mana ideologi dan fahaman pengundi Cina yang sebenarnya.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)