Dasar baharu TH tidak jejas bakal jemaah haji

Zukri Samat
Zukri Samat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dasar baharu Tabung Haji (TH) yang tidak membenarkan pendeposit menunaikan haji untuk kali yang kedua tidak memberi sebarang kesan besar kepada jemaah terbabit.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pada ketika ini semua bakal jemaah haji di negara ini memang terpaksa menunggu lama kerana kuota yang diberikan untuk Malaysia hanyalah sebanyak 30,200.

"Setakat ini seramai 3.2 juta orang telah mendaftar haji, kuota Malaysia buat masa ini ialah 30,200. Ini bermakna tempoh menunggu adalah lebih dari 100 tahun.

"Sebenarnya oleh kerana tempoh menunggu buat masa kini pun sudah begitu lama, maka dasar baharu ini sebenarnya tiada kesan kepada orang yang telah mengerjakan haji.

"Contohnya, saudara ingin pergi haji tahun ini dan balik nanti saudara daftar semula untuk haji kedua, saudara masuk 'queue' (barisan) maka giliran saudara akan datang ialah 106 tahun lagi.

"Kalau dasar baru ini tidak dibuat maka tarikh menunggu untuk menunaikan haji akan datang menjadi bertambah lama," katanya kepada Sinar Harian disini semalam.

Kelmarin, TH menetapkan pendeposit yang sudah menunaikan haji, tidak lagi dibenar mendaftar semula dengan institusi pengurusan dana haji itu untuk mengerjakan ibadat berkenaan buat kali kedua.

Ini kerana amalan selama ini ialah pendeposit yang sudah menunaikan haji, boleh mendaftar semula selepas lima tahun untuk senarai menunggu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji nafi cawangan Bachok kehabisan wang

Usaha tersebut bagi memberi peluang kepada 3.2 juta orang pendeposit yang berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji.

Dalam pada itu, Zukri berkata, jemaah haji yang ingin menunaikan haji dengan TH Travel atau mana-mana syarikat pengendali urusan haji swasta juga termasuk dalam kuota yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Tiap-tiap tahun TH mengagih-agihkan sebahagian dari 32,000 visa yang diberikan untuk TH Travel dan ejen-ejen swasta," ujar beliau.