DAP Selangor gesa kerajaan teruskan siasatan skandal 1MDB

1MDB
1MDB
A
A
A

PETALING JAYA - Konvensyen DAP Selangor 2018 di sini meluluskan tujuh resolusi termasuk menggesa kerajaan meneruskan siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Parti itu juga menggesa kerajaan Selangor melaksanakan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperluaskan demokrasi serta memberi peluang calon-calon tempatan memegang jawatan-jawatan penting dalam Majlis Tempatan.

Resolusi itu juga menggesa Kerajaan Pusat terus komited dalam menghapuskan Akta Hasutan serta akta-akta lain yang menindas rakyat.

Resolusi itu diluluskan sebulat suara oleh perwakilan yang hadir. Ia diumumkan oleh speaker, Leong Yu Man, Adun Triang.

Seramai 756 perwakilan daripada 1,092 ahli yang layak menghadiri konvensyen itu hari ini.

DAP Selangor dalam resolusi itu juga menyokong penuh Belanjawan 2019 dan akan membantu warga Selangor untuk memahami intipatinya dengan mengadakan sesi taklimat, sesi soal jawab dan publisiti.

Ia turut menyeru agar Kerajaan Pusat melaksanakan janji Manifesto PH yang mahu memastikan pertambahan 10,000 unit bas awam di seluruh negara dalam penggal pertama pentadbiran sebagai langkah penambahbaikan sistem pengangkutan awam sehingga tahap optimum dapat dicapai.

Parti itu juga meminta penerusan pembaharuan dalam pasukan polis seperti penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dah perubahan polisi-polisi lain bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap polis.

Artikel Berkaitan:

DAP Selangor turut menggesa pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). - Bernama.