X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan bantu ketengahkan produk tempatan

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengambil beberapa inisiatif dalam mengetengahkan produk tempatan untuk pasaran dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, di bawah Skim Bantuan Pembangunan Produk, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu ada menawarkan bantuan bar kod.

Menurutnya, bagi memastikan produk usahawan menepati standard untuk pasaran, YPU memberikan 20 bar kod secara percuma kepada usahawan terlibat.

“Selain itu, YPU juga membantu daripada segi mempamerkan fakta nutrisi, dengan membiayai sebanyak 50 peratus dan usahawan sebanyak 50 peratus, atau antara RM80 hingga RM120 mengikut kategori produk.

“Kita juga memberikan bantuan pembungkusan dan pelabelan produk, di mana YPU membiayai 50 peratus atau maksima RM2,500 atau mana yang lebih rendah,” katanya.

Menurut Nurkhuzaini, YPU juga memberikan kerjasama dalam menjayakan dasar dan hasrat kerajaan dalam menggalakkan penyertaan usahawan bumiputera di pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Ia termasuk pelawaan usahawan supaya melibatkan diri secara langsung menerusi ‘showcase’ ataupun pameran-pameran yang dianjurkan oleh kerajaan atau dianjurkan secara bersama dengan syarikat swasta.

“Di samping penyertaan dalam pameran, program pemadanan perniagaan yang diadakan serentak membolehkan usahawan membuat hubungan awal dengan bakal pembekal bumiputera yang berpotensi," katanya.

Katanya, YPU juga menyediakan peruntukan dan sebagai pemudah cara kepada pengusaha kecil dan sederhana untuk mendapatkan pensijilan yang disyaratkan bagi memasarkan produk seperti pensijilan halal, GMP/HACCP dan sijil Kementerian Kesihatan.