Cacat bukan halangan kepada Abdul Malik

Abdul Malik (tengah) bergambar bersama rakannya diluar stadium.
Abdul Malik (tengah) bergambar bersama rakannya diluar stadium.
A
A
A

PENDANG - Kecacatan tubuh badan yang dialami tidak menghalang dirinya untuk meneruskan kehidupan sama seperti insan lain.

Abdul Malik Said, 36, berkata, dia yang asalnya normal dan bekerja sebagai anggota tentera.

Katanya, peristiwa malang menimpa dirinya apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Sarawak.

"Sebulan juga saya di hospital dan saya ingat masa depan saya dah gelap dengan kaki tangan dah tak dapat nak berfungsi.

"Saya terlantar hampir setahun dan bermula episod saya ditinggalkan oleh tunang saya dan hati saya bertambah sedih," katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Baru, kelmarin.

Abdul Malik tetap bersemangat meskipun tidak seperti yang lain.
Abdul Malik tetap bersemangat meskipun tidak seperti yang lain.



Anak ke tiga daripada lima adik beradik itu mengambil keputusan untuk terus bangkit dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan.

"Ada kawan-kawan mai duk bagi sokongan dekat saya, depa kata bunga bukan sekuntum apa-apa pun hang kena kuat dan sembuh.

"Hasil daripada semangat orang sekeliling saya, alhamdulilah saya mampu untuk berkerusi roda.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikut doktor depa kata saya akan lumpuh dan terbaring sehingga akhir hayat, tapi alhamdulilah berkat sokongan dan semangat saya boleh bangkit semula," katanya.

Abdul Malik kembali semula bertugas sebagai tentera namun hanya ditempatkan di pejabat.

"Saya dah tak perlu keluar kursus ataupun operasi, alhamdulilah 11 tahun juga saya berkhidmat selepas tu dan saya dinasihatkan untuk proses pencen ilat.

"Saya pun berpencen dengan jumlah pampasan yang diberikan dan saya terfikir macam mana nak teruskan hidup," katanya.

Abdul Malik ketika mengendalikan deejay di rumah kenduri.
Abdul Malik ketika mengendalikan deejay di rumah kenduri.

Abdul Malik berkata, dia pulang ke kampung dan tinggal bersama ahli keluarga.

"Satu hari saya ke rumah kenduri yang terletak di kampung ini juga. Nak dijadikan cerita deejay di rumah kenduri tu ada kecemasan dan terpaksa balik.

"Kawan-kawan kata pada saya 'wei Malik hang try la jadi deejay' saya pada masa tu gemuruh sangat tapi saya cuba, bila dah cuba sampai sekarang ketagih pegang mikrofon," ujarnya.

Ibunya, Tom Mehat, 63, berkata, anaknya itu mempunyai semangat yang luar biasa untuk meneruskan hidup.

"Walaupun sekarang saya masih perlu mandikan dia, pakaikan baju tapi dia banyak nak buat sendiri.

"Dulu hanya terbaring, apabila mula naik kerusi roda, dia punya semangat nak tengok dunia luar, dia kayuh kerusi roda tu dari rumah hingga ke kedai, ada la dalam 600 meter.

"Dulu kerusi roda jenis lama, sementara nak sampai berpuluh kali juga dia berhenti, sekarang alhamdulilah dah boleh guna kerusi roda elektronik," katanya.

Abdul Malik bersama ibunya.
Abdul Malik bersama ibunya.

Menurut Abdul Malik, meskipun sakit tangan ketika berkayuh dia tetap berusaha untuk bergerak.

"Bagi saya, saya perlu bantu diri saya sendiri, saya perlu buang rasa malu untuk teruskan hidup.

"Orang luar mana pandang OKU macam kami, tapi kami nak buktikan kami pun boleh hidup dan ada kerjaya dan bukannya hanya mengharapkan belas ehsan orang untuk hidup," katanya.

Abdul Malik berkata, dia selalu mengambil sikap untuk maju ke hadapan tanpa mempedulikan apa yang orang katakan.

"Alhamdulilah sehingga kini saya dah ada empat orang anak didik dalam deejay ni, kalau saya tak sempat depa boleh bantu untuk penuhi jemputan," katanya.

Abdul Malik berkata, adik bongsunya sering membantu dirinya memenuhi undangan di rumah kenduri.

"Kalau macam jarak jauh saya akan minta adik tolong hantarkan, bila sampai di lokasi dia akan bantu pasang peralatan dan saya hanya siapkan diri untuk bercakap sahaja.

"Alhamdulilah saya dikurniakan adik beradik, ibu dan rakan-rakan yang sangat membantu memberikan sokongan moral," katanya.

Meskipun dalam keadaan demikian, Abdul Malik juga merupakan peminat fanatik pasukan bola sepak Kedah.

"Asalkan ada perlawanan berkaitan Kedah saya pasti akan turun ke stadium dan adik sayalah yang akan membawa saya," katanya.

Abdul Malik menunjukkan gambarnya yang lengkap memakai uniform tentera.
Abdul Malik menunjukkan gambarnya yang lengkap memakai uniform tentera.

Harapan Abdul Malik suatu hai nanti adalah untuk melihat projek deejaynya bertambah maju.

"Mungkin sekarang saya hanya buat untuk rumah kenduri dan insya-ALLAH jika diberi peluang untuk kendalikan majlis tertentu saya sangat berbesar hati," ujarnya.

Tambah Abdul Malik, menjadi seorang yang berstatus OKU bukanlah mudah kerana terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuh.

"Saya berharap, rakan-rakan diluar yang senasib saya, kita tak minta takdir hidup kita begini, tetapi jika ALLAH suratkan begini kita perlu reda dan bangkit berjuang untuk teruskan hidup," katanya.