Adun Perlis disaran isytihar harta kepada SPRM

Asrul Nizan Abd Jalil
Asrul Nizan Abd Jalil
A
A
A

KUALA PERLIS - Kesemua 15 Adun Perlis disaran mengisytiharkan harta dan jumlah pendapatan secara terperinci kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memelihara integriti masing-masing.

Adun Sena, Asrul Nizan Abd Jalil, berkata, wakil rakyat perlu mencontohi langkah Ahli Kabinet dan Ahli Parlimen PH yang diwajibkan melakukan pengisytiharan harta dan pendapatan masing-masing.

Wakil rakyat dari PKR itu berkata beliau telah mengisytiharkan harta sebelum bertanding pada PRU14 pada Mei lalu dan akan mengemas kini maklumat-maklumat tersebut secara terperinci dengan akuan berkanun kepada SPRM, Januari depan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Walkabout Perdana sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2018 Peringkat Negeri Perlis di sini, hari ini.

Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Yayasan Antirasuah Malaysia (YARM).- Bernama.

Lebih 100 orang sukarelawan termasuk wakil agensi kerajaan, institut pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai program itu di Terminal Feri Kuala Perlis.

Dua lagi lokasi ialah di Arked Niaga Padang Besar dan Pasar Pokok Getah di Kampung Kubang, Arau, di sini.

Sempena program itu, para sukarelawan bersama pegawai SPRM turun padang bertemu masyarakat dalam usaha mendidik masyarakat menentang amalan rasuah di samping menjalankan soal selidik berkaitan rasuah.

Turut hadir Pengerusi YARM Perlis, Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam dan Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud.

Artikel Berkaitan:


Mengulas cadangan daripada Adun Sena itu, Mohd Shukor berkata itu adalah langkah terbaik untuk wakil rakyat di Perlis membersihkan nama mereka.- Bernama