Tergamak perjudikan keselamatan orang ramai

Keadaan banjir di Shah Alam pada Disember lalu.
Keadaan banjir di Shah Alam pada Disember lalu.
A
A
A

BENARLAH kuasa selalu buat manusia gelap mata. Entah ke mana hilangnya empati dalam diri sehingga berubah menjadi manusia durjana.

Belum sampai setahun kita dikejutkan dengan peristiwa Shah Alam, Selangor bertukar umpama pulau ditenggelami air, kali ini kita gempar lagi.

Dilaporkan, ada yang tak kena dengan projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit di bandar raya ini.

Ia susulan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Isnin dipercayai berkait projek mega ini.

Laporan menyebut, tiga individu ditahan reman tujuh hari termasuk seorang kontraktor bagi membantu siasatan.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan pihaknya menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber memberitahu, pegawai yang ditahan merupakan jurutera dan pembantu jurutera pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Kesemua mereka pula dipercayai merupakan kroni pihak tertentu bagi mendapatkan projek.

Artikel Berkaitan:

Beberapa dokumen syarikat yang dikemukakan kepada MBSA untuk mendapatkan tawaran kerja-kerja berkaitan turut dirampas SPRM.

Ketika kita masih belum lupa kisah hujan lebat Disember lalu yang menyebabkan 25 nyawa melayang dan RM1.4 bilion harta benda musnah di Selangor, sekarang ada pula cerita penyangak yang mahu mengaut untung di sebalik bencana ini.

Amatlah malang jika benar ada anggota PBT terlibat, sedangkan mereka sepatutnya memainkan peranan menjaga kebajikan penduduk di bawah pentadbiran mereka.

Harapkan pagar, pagar makan padi, begitulah perumpamaannya. Semasa rakyat begitu runsing memikirkan bencana banjir besar yang diramal berlaku hujung tahun ini, tidak dapat ‘dihadam’ dek akal waras andai ada individu yang tergamak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

Ternyata berita seperti ini memburukkan lagi persepsi awam terhadap PBT lebih-lebih lagi kajian SPRM sebelum ini mendapati, masyarakat percaya 80 peratus daripada pegawai dan anggota PBT di seluruh negara terlibat rasuah.

Memperjudikan nyawa dan keselamatan orang lain untuk poket sendiri adalah perbuatan yang tidak dapat dimaafkan.

Oleh itu, tindakan tegas mesti dikenakan ke atas individu terlibat sekiranya mereka didapati bersalah.