Pengawal keselamatan cedera ditumbuk artis

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pengawal keselamatan warga emas cedera didakwa ditumbuk tiga kali pada bahagian muka oleh seorang artis lelaki tempatan di kawasan perumahan di Taman Acacia Park Desa Jati, Nilai, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, dalam kejadian jam 8 malam itu, suspek yang berusia 49 tahun dan memandu kereta Proton Perdana berwarna hitam dilaporkan memasuki kawasan kediaman berkenaan tanpa kebenaran.

Beliau berkata, susulan itu, pengawal keselamatan berusia 68 tahun itu bertindak mengekori kenderaan suspek kerana tidak memberhentikan kereta dan tidak menulis butiran diri dalam buku pelawat di pos pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, kereta artis berkenaan melalui semula pos pengawal keselamatan untuk keluar dari kawasan perumahan itu namun terhenti selepas laluan keluar ditutup dengan palang pos pengawal.

Beliau berkata, mangsa bertindak menegur suspek sebelum suspek keluar dari kereta dan menuju ke arah pengawal dan berlaku petengkaran mulut.

“Suspek yang berkemungkinan berang kerana kenderaan dihalang telah bertindak menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan mangsa lebam di bahagian mata kanan dan sakit di bahagian hidung,” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, selain itu mangsa turut melaporkan bahawa beliau turut ditendang di bahagian pinggang serta dibaling batu oleh artis berkenaan.

“Buat masa ini artis berkenaan belum lagi ditahan, namun siasatan sedang dijalankan berdasarkan maklumat saksi yang berada di tempat kejadian serta rakaman kamera litar tertutup,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan Seksyen 427 kanun yang sama atas kesalahan melakukan khianat dengan merosakkan harta benda awam.

Difahamkan suspek, yang berasal dari Kedah, pernah menganggotai sebuah kumpulan lawak.-Bernama