Harap fokus infrastruktur luar bandar, harga barang di Sabah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
KOTA KINABALU - Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan diharap dapat memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar selain menangani kenaikan harga barangan.

Rata-rata Ketua kampung yang ditemui di beberapa daerah di Sabah juga berharap melalui bajet itu kerajaan dapat mengambil langkah berkesan dalam membangunkan negeri ini seperti dijanjikan sejak sekian lama, terutamanya dalam aspek pembangunan kemudahan asas di kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan dalam arus pembangunan.

Ketua Kampung Pinahawon Mison Madamin, 58, berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi fokus dalam memajukan Sabah dengan menaik taraf infrastruktur seperti memperbanyakkan jalan raya berturap dan meningkatkan akses jaringan Internet.

"Kita tahu banyak perkara yang sudah kerajaan lakukan seperti meningkatkan jaringan internet sehingga ke kawasan kampung-kampung di Sabah termasuk di kampung saya...namun apa yang menyedihkan jalan raya yang ada belum sesuai dan perlu dinaik taraf.

"Sudah lama penduduk di kampung kami mengharapkan jalan raya dibina dari Kampung Pinahawaon ke Kampung Kionsom juga di Inanam.

"Jalan berkenaan sangat penting kerana ia dapat menjimatkan masa perjalanan dan saya berharap Bajet 2023 akan mengambil kira keperluan untuk menaik taraf jalan yang mendesak," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Kampung Lokub Unus Limun, 53, berkata, isu kemudahan asas dan infrastruktur seperti bekalan air bersih, elektrik, dan jalan raya berturap sudah menjadi masalah utama di Sabah sejak sekian lama dan ia perlu diambil kira dalam Bajet 2023.

"Isu-isu berkenaan sudah berlanjutan sejak sekian lama, namun isu baharu yang memberi tekanan kepada rakyat sekarang adalah isu kenaikan harga barang di pasaran...masalah itu akan menjadi topik setiap hari orang ramai di kedai kopi,” katanya.

Beliau berkata Bajet 2023 juga diharap dapat memperkenalkan inisiatif-inisaitif yang berkesan dalam menyelesaikan kenaikan harga barang yang dilihat semakin membebankan pengguna terutama melibatkan makanan dan keperluan harian.
Artikel Berkaitan:


"Kita harap dalam Bajet 2023 kerajaan dapat mencari inisiatif terbaik, kerana sejak akhir-akhir ini isu kenaikan harga barang di Sabah sangat ketara sehingga daging babi yang dulunya berharga RM22 hingga RM25 sekilo kini meningkat sehingga RM45 hingga RM50 sekilo," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pinagon Baru Martin Lotupas, 55, berharap Bajet 2023 dapat menyediakan peruntukan besar untuk pembangunan kemudahan asas seperti jalan raya berturap yang lebih selesa.

"Seperti kita tahu bahawa jalan-jalan raya di Sabah sering bermasalah sejak dahulu...bahkan masalah itu bukan sahaja berlaku di kawasan luar bandar, tetapi masalah itu juga berlaku di kawasan bandar.

"Banyak jalan raya utama yang rosak tidak dapat dibaiki dengan cepat dan kemungkinan disebabkan oleh ketiadaan peruntukan, oleh itu kita berharap Bajet 2023 dapat memastikan masalah seumpama ini dapat diselesaikan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau turut memberi cadangan supaya Bajet 2023 memperkenal insiatif untuk menggalakan lebih ramai peniaga melaksanakan promosi jualan barangan keperluan seperti Program Jualan Murah Keluarga Malaysia dilaksanakan kerajaan. - Bernama