Tabung #Sinar4NZMartyrs ditutup

A
A

SHAH ALAM - Tabung khas #Sinar4NZMartyrs yang mula dibuka sejak 16 Mac lalu selepas tragedi serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand secara rasminya akan ditutup bermula 12 tengah malam ini.

Sejak tabung tersebut dilancarkan, Sinar Harian berjaya mengumpulkan sebanyak RM159,895.73 hasil kutipan daripada sumbangan orang ramai.

Tujuan utama kutipan tersebut dibuat adalah untuk membantu mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut termasuk mangsa yang cedera serta membantu membaik pulih dua masjid yang terjejas akibat tragedi itu.

Sehingga kini, sebanyak RM93,000 telah diagihkan untuk kegunaan masjid dan diberikan kepada tiga keluarga rakyat Malaysia yang terlibat dalam tragedi tersebut.

Pada 21 Mac lalu, sumbangan tersebut telah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof ketika mewakili kerajaan Malaysia menziarahi mangsa di New Zealand.

Ternyata rakyat Malaysia begitu prihatin dengan kejadian yang berlaku apabila kutipan tabung khas tersebut terus mencatat peningkatan yang menggalakkan.

Sehubungan itu, Sinar Harian mengucapkan syabas dan terima kasih seluruh rakyat Malaysia kerana telah menghulurkan sumbangan sebagai tanda solidariti umat Islam terhadap peristiwa tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Sumbangan tabung #Sinar4NZMartyrs RM93,000 dibawa ke NZ

Sesungguhnya, tragedi tersebut telah menggemparkan seluruh dunia apabila ia dilakukan oleh pengganas warga Australia, Brenton Tarrant yang bertindak kejam menembak umat Islam ketika sedang menunggu untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood.

Kejadian itu juga telah meragut seramai 50 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia, Mohd. Haziq Mohd. Tarmizi, 17 sementara bapanya, Mohd. Tarmizi Shuib mengalami kecederaan termasuk dua lagi mangsa Rahimi Ahmad dan Nazril Hisham Omar.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia