GPS digesa sokong kembalikan status Sarawak, Sabah

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.
 -Foto Bernama
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menggesa Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar menyokong Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dijadualkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, Selasa ini.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata selaku wakil kerajaan pembangkang yang mentadbir negeri ini, Ahli Parlimen GPS harus memikirkan kedudukan negeri dan menerima rang undang-undang itu sebagai manifestasi semangat muhibah kerajaan PH.

"Amat penting bagi GPS menyokong RUU ini dan mengetepikan ego demi kebaikan Sarawak. Tidak ada sebab untuk menolak RUU ini memandangkan Sarawak tidak rugi apa-apa bahkan menerima faedah daripada perubahan status dalam perlembagaan untuk memperoleh semula haknya,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Hadir sama beberapa pemimpin parti komponen PH Sarawak antaranya Naib Pengerusi PKR Sarawak Ali Biju dan Pengerusi Amanah Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi.

Bacaan kali pertama RUU pada Khamis mencadangkan untuk menggantikan Klausa 2 dalam Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan bagi memperincikan semua negeri-negeri Persekutuan semasa pembentukan Malaysia pada 1963 seiring dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

ARTIKEL BERKAITAN: Perlu persetujuan Yang di-Pertua Negeri

Susulan pembentangan RUU itu, Ahli Parlimen GPS mahu ia dirujuk kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk kajian menyeluruh.

Mengulas lanjut, Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak, berkata anggota Parlimen pembangkang daripada GPS dan juga UMNO dipelawa menghadiri taklimat mengenai pindaan itu namun ditolak, sekali gus melepaskan peluang memberi maklum balas mengenai perkara berbangkit.

Artikel Berkaitan:

"Persoalannya sama ada GPS akan mengutamakan kepentingan Sarawak memandangkan sekarang ia ditawarkan sesuatu yang konkrit. Terima tawaran itu selagi anda masih boleh berunding.

"Rundingan akan terus diadakan selepas pindaan apabila Sarawak sudah beroleh semula haknya namun jika ditolak, anda boleh terus berbincang dari semasa ke semasa dan Sarawak kekal sebagai satu daripada 13 negeri di Malaysia berdasarkan peruntukan semasa Perlembagaan,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri dan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ketua menteri Sabah dan Sarawak tidak meluluskan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan semasa dan perkara itu juga tidak dibincangkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai MA63. -Bernama