Zii Jia tak menyesal tidak sertai Sukan Komanwel

Zii Jia - Foto Bernama
Zii Jia - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN badminton profesional utama negara Lee Zii Jia tidak menyesali keputusannya untuk tidak menyertai Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Namun Zii Jia mengakui bahawa beliau akan menyertai temasya sukan itu, jika beliau tidak mengalami kecederaan.

"Saya memang cedera dan mempunyai kejohanan yang berterusan pada masa itu. Jika saya boleh bermain di Sukan Komanwel, saya akan main,” katanya selepas sesi latihan pada Sabtu.

Sebelum ini Zii Jia menerima kecaman selepas beliau dikatakan mengutamakan penyertaan di Kejuaraan Dunia di Tokyo, berbanding mewakili negara di Sukan Komanwel.

Bagaimanapun, keputusan pemain nombor empat dunia itu untuk tidak menyertai Sukan Komanwel kembali menghantuinya, selepas beliau tewas kepada pemain China Zhao Jun Peng 19-21, 21-11, 19-21, pada pusingan ketiga kejohanan dunia.

Lebih memburukkan keadaan itu apabila pemain tersebut kemudiannya tewas kepada K Srikanth dari India, 20-22, 21-23 pada pusingan pertama di Terbuka Jepun, seminggu selepas itu.

"Saya berhadapan dengan masalah stress pada masa itu. Harapan saya sangat tinggi dan amat kecewa dengan prestasi saya di kejohanan dunia. Namun ia satu daripada proses. Saya perlu terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Zii Jia menyatakan bahawa beliau akan ke Denmark seminggu awal sebelum Terbuka Denmark pada 18-23 Oktober, untuk berlatih bersama juara dunia Viktor Axelsen.

Artikel Berkaitan:

"Axelsen merupakan pemain terbaik masa ini dan mengekalkan prestasinya dengan baik. Beliau memang seorang pemain yang saya kagumi sejak dahulu,” katanya. - Bernama