134 saman, 17 motosikal disita dalam op bersepadu

Polis sedang melakukan pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya di lokasi operasi pada Jumaat.
Polis sedang melakukan pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya di lokasi operasi pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 17 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dalam satu operasi di jalan bypass Bukit Bayas di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 134 keping saman turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di atas pelbagai kesalahan.

"Jalan bypass ini sering digunakan oleh golongan remaja untuk berlumba dan melakukan aksi melulu dan berbahaya.

"Saya berharap ibu bapa memantau aktiviti anak mereka supaya tidak terlibat dengan perkara yang boleh mengundang kecederaan dan kemalangan jiwa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama lima jam bermula 4 petang.

Beliau berkata, seorang pegawai kanan dan 11 anggota polis bersama lima pegawai serta 19 anggota JPJ terlibat dalam operasi pada hujung minggu berkenaan.

"Polis akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pemandu atau penunggang serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel Berkaitan: