Tiga lelaki diberkas curi kabel RM20,000

No Image Caption
A
A
A

AMPANG JAYA - Taktik penjenayah yang mensasarkan gelung kabel yang diletakkan di tangga rumah kedai terbongkar selepas polis berjaya memberkas tiga lelaki di sekitar Lembah Klang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel bernilai kira-kira RM20,000 yang diletakkan di tangga pejabat di Pandan Indah Commercial Park, Ampang pada 16 September lalu.

Menurutnya, suspek dipercayai telah mengumpil kunci mangga pada pintu jeriji di tangga terbabit.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya menahan suspek pertama di Batu 6 Jalan Gombak, kira-kira jam 10.30 pagi pada Jumaat.

"Dua lagi rakan suspek turut ditahan pada hari yang sama di Jalan Air Jerneh Setapak," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, selain menemui salinan resit bayaran jualan kabel, polis turut merampas pakaian dan sebuah lori yang diguna semasa kejadian.

"Semakan mendapati suspek pertama memiliki tujuh rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah selain positif dadah jenis syabu.

"Modus operandi suspek adalah menyasarkan gelung kabel yang diletakkan di tangga rumah kedai. Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri." ujarnya.

Artikel Berkaitan: