Rumah pusaka musnah dalam kebakaran

Tumiran menunjukkan keadaan rumahnya yang musnah dalam kejadian berkenaan.
Tumiran menunjukkan keadaan rumahnya yang musnah dalam kejadian berkenaan.
A
A
A

SEKINCHAN - Gerak hati seorang remaja pulang sebentar ke rumahnya bertukar tragedi memilukan apabila kediamannya di Kampung Parit 13, Sungai Nibong musnah dalam kebakaran, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, rumah separuh batu dan kayu itu rentung sekelip mata, namun kesemua tiga penghuninya tiada di rumah ketika kejadian.

Muhammad Isa, 15, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila melihat api menjulang tinggi dan membakar bilik tidur di bahagian belakang rumah.

"Waktu kejadian, kami sekeluarga ke mesyuarat UMNO Cawangan kampung dan saya kemudiannya pulang ke rumah sebab nak buang air.

"Namun, sejurus tiba, saya terkejut sebab dengar bunyi letupan kuat dan api mula membakar rumah," katanya.

Katanya, dia kemudiannya terus menghubungi bapanya, Tumiran Dimyati, 51, memaklumkan kejadian itu.

Tumiran berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama ibunya, Siti Mariati Jawos, 67 dan Muhammad Isa menghadiri mesyuarat UMNO cawangan di Ban Satu Setengah, Parit Pakat, Sungai Nibong.

"Bagaimanapun, Muhammad Isa tiba-tiba pulang ke rumah semula kerana ingin membuang air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia yang tiba selepas dihubungi anaknya itu hiba sebaik tiba di tempat kejadian.

"Luluh hati saya melihat rumah pusaka peninggalan arwah bapa sejak 51 tahun lalu musnah dalam kebakaran," katanya.

Katanya, dia sempat mengalih Perodua Kancil miliknya dengan memecahkan cermin hadapan pemandu.

Menurutnya, dia bersyukur tiada yang cedera dalam kebakaran itu dan memaklumkan tinggal sementara di rumah jiran bersebelahan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Tumiran di talian 017-2505793.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan, Khairul Anuar Abu Bakar berkata, sepasukan 13 anggota bersama bantuan dari BBP Sungai Besar dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 9.56 pagi.

"Operasi keseluruhan pemadaman tamat pada jam 10.30 pagi," katanya.