RUU Sumbangan Politik: Perjumpaan MP kerajaan, pembangkang Rabu ini

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan mengadakan perjumpaan bersama wakil ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada 28 September ini bagi mendapatkan pandangan berhubung Rang Undang-undang (RUU) Sumbangan Politik yang sedang digubal.

Beliau berkata, kerajaan yakin dan kekal komited untuk merealisasikan undang-undang itu dan menjangkakan ia dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen bagi bacaan pertama pada awal November ini.

Katanya, bacaan kedua RUU itu pula dijangka dilaksana pada hujung bulan tersebut.

"Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) telah menyediakan skop dan parameter dasar yang digariskan dalam RUU Sumbangan Politik dan dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti sebelum RUU ini dapat dimuktamadkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada 13 Ogos lalu, Wan Junaidi memaklumkan, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan enam entiti termasuk Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung RUU berkenaan.

Perbincangan itu turut membabitkan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM).

Sebelum ini pada 19 Mei lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik, namun ia masih perlu dibincangkan dengan ahli kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.

RUU berkenaan dilihat penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik, selain dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Wan Junaidi berkata, penggubalan RUU itu juga telah mengambil kira pandangan pihak berkepentingan melalui sesi libat urus diadakan bersama pihak pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) seperti Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) serta pakar akademik.

"Pada masa yang sama, beberapa sesi perbincangan dalaman juga telah dibuat bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi memperincikan dasar penggubalan RUU ini," ujarnya.