Lelaki menyamar pelanggan curi gelang emas RM20,000 ditahan

Seorang lelaki ditahan polis kerana dipercayai melarikan gelang emas dari sebuah premis.
Seorang lelaki ditahan polis kerana dipercayai melarikan gelang emas dari sebuah premis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki yang tular di aplikasi Tik Tok kerana melarikan gelang emas dari sebuah premis kedai emas yang terletak di pusat bandar raya Alor Setar di sini telah ditahan polis pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian tersebut berlaku lebih kurang 5.00 petang pada 22 September lepas di sebuah kedai emas di Jalan Putra Alor Setar di sini.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun yang sebelum itu telah datang ke premis berkenaan kononnya mahu membeli barangan kemas.

"Bagaimanapun, suspek secara tiba tiba melarikan diri bersama seutas gelang emas anggaran berat 99.34 gram dari premis tersebut.

"Jurujual kedai emas berkenaan yang menyedari tindakan lelaki tersebut kemudiannya segera mengejar suspek sebelum menghubungi pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Ahmad Shukri, pasukan Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Alor Setar digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat kejadian.

Katanya, lelaki itu ditahan oleh orang awam yang membantu pihak kedai di Lampu Isyarat Tambang Badak sebelum suspek ditahan semula oleh polis dari IPD KSetar.

"Susulan itu, kita merampas seutas gelang emas dianggarkan bernilai antara RM20,000 hingga RM30,000 yang dipercayai dilarikan lelaki itu pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas adalah kenderaan dinaiki suspek iaitu jenis Volkswagen MK7,"katanya.

Ahmad Shukri memaklumkan, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 26 September depan di lokap IPD Kota Setar sementara siasatan dilengkapkan.

Pada Jumaat, tular video berdurasi 1 minit 32 saat dimuat naik pemilik akaun TikTok yang memaparkan kejadian seorang individu telah melarikan seutas gelang emas dari sebuah premis yang terletak di pusat bandar raya Alor Setar.

Video tersebut telah mendapat pelbagai respon dan reaksi daripada masyarakat dengan mendapat 26,600 likes, 568 komen dan 511 perkongsian.