Pulau Pinang dilanda banjir kilat

Banjir kilat yang melanda kawasan Bayan Lepas pada pagi Sabtu.
Banjir kilat yang melanda kawasan Bayan Lepas pada pagi Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Beberapa kawasan di Bayan Lepas, Bayan Baru dan Bukit Jambul dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak jam 7.30 pagi Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, antara kawasan yang dilanda banjir adalah Kampung Masjid, Kampung Manggis, Kampung Perlis, Kampung Binjai dan Kampung Seronok.

"Banjir kilat turut melanda beberapa rumah yang terletak berdekatan Sungai Bayan Lepas.

"Saya sudah memohon bantuan daripada beberapa agensi keselamatan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana bimbang ada penduduk yang terperangkap.

"Ia susulan air sungai naik mendadak, kita takut kejadian yang lebih buruk berlaku," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, air sudah surut sepenuhnya kira-kira jam 10.15 pagi susulan hujan mulai reda.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mendapati tiada kejadian banjir di situ selepas dilaporkan berlaku banjir kilat oleh warga net di Facebook.

Tinjauan di situ juga mendapati, urusan orang ramai termasuk penumpang berjalan seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Binjai, Baseri Hashim berkata, kira-kira 30 rumah di Kampung Binjai, Bayan Lepas dilanda banjir kilat awal pagi Sabtu selepas hujan lebat berterusan.

Air mula naik di kawasan rumah penduduk selepas subuh tadi, air naik terlalu cepat dan kawasan rumah penduduk masih dinaiki air separas buku lali. Keadaan dalam keadaan selamat kerana air sudah mula surut.

"Tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir namun penduduk tetap berjaga-jaga kerana bimbang hujan lebat berterusan," katanya.

Tambahnya, kawasan kampung itu juga kerap dilanda banjir sekiranya hujan lebat berlaku secara berterusan kerana terletak di kawasan rendah.