Tangan ditembak komunis, dua rakan TUDM terkorban

Mohsain melihat lakaran Sarjan Zainudin yang memaparkan tugas helikopter Nuri.
Mohsain melihat lakaran Sarjan Zainudin yang memaparkan tugas helikopter Nuri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengalaman berhadapan detik cemas ketika helikopter Nuri dinaiki ditembak komunis ketika terbabit dalam Ops Selamat Sawadee pada 3 Mac 1979, masih tersemat di sanubari veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pegawai Waran 1, Mohsain Hashim.

Beliau yang kita berusia 73 tahun, tidak pernah melupakan saat dirinya cedera terkena tembakan komunis selepas helikopter dinaiki dihujani peluru ketika melaksanakan operasi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

“Pada ketika itu, pasukan saya diarahkan untuk mengambil 12 orang askar Tentera Darat Diraja Malaysia di kawasan itu.

“Sembilan askar telah masuk ke dalam helikopter setelah ia mendarat, tiba-tiba saya ternampak kepala askar yang ke-10 telah berdarah kerana ditembak komunis,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Cheras Indah Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kesan tembakan yang menembusi lantai helikopter Nuri terkena pada badan Ismail.
Kesan tembakan yang menembusi lantai helikopter Nuri terkena pada badan Ismail.

Mohsain berkata, beliau juga terkena tembakan di tangan kirinya ketika membantu anggota tentera keluar dari kawasan tersebut.

“Saya segera mengangkat askar yang ke-10 itu masuk ke dalam helikopter tanpa menyedari tangan saya telah cedera terkena tembakan,” katanya.

Dua rakan terkorban ditembak komunis

Artikel Berkaitan:

Mohsain berkata, antara kawasan ‘panas’ pengganas komunis adalah di sekitar Gubir, Sungai Temin di Kedah; Kelian Intan dan Kroh di Perak.

“Tugas kami di Tiga Skuadron TUDM atau lebih dikenali sebagai The Fighting Squadron sangat penting kerana unit kami yang menghantar bekalan makanan ke kawasan operasi, membawa keluar masuk anggota cedera atau meninggal dunia,” katanya.

Mohsain menunjukkan buku log yang memaparkan penglibatan tugas beliau dalam helikopter Nuri.
Mohsain menunjukkan buku log yang memaparkan penglibatan tugas beliau dalam helikopter Nuri.

Malah, beliau sering terbayang berapa banyak tembakan komunis ke arah helikopter Nuri setiap kali pasukannya terlibat dalam operasi.

“Demi tugas pada ketika itu, saya perlu fokus dan bekerjasama dengan rakan sepasukan agar setiap operasi berjalan lancar,” katanya.

Mohsain yang ketika itu berusia 26 tahun berkata, beliau turut berdepan dua insiden ditembak komunis yang menyebabkan dua rakan sepasukannya terkorban.

“Peristiwa pertama berlaku pada 16 Ogos 1978 ketika saya bersama rakan baik, Lans Koperal Ismail Ahmad sedang membuat persiapan untuk berbuka puasa.

“Pasukan saya telah menerima maklumat bahawa seorang anggota tentera, Prebet Majeni Abd Rahman telah cedera akibat terkena tembakan komunis di Kroh dan kami diarah membawanya keluar,” katanya.

Cermin hadapan helikopter Nuri terkena tembakan komunis.
Cermin hadapan helikopter Nuri terkena tembakan komunis.

Beliau berkata, pasukannya segera ke lokasi dan setibanya di lokasi, pihak musuh telah melepaskan beberapa tembakan yang mengenai bahagian cermin dan badan helikopter.

“Ismail yang berada di dalam helikopter turut terkena tembakan. Beliau cedera parah di perut telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Mohsain berkata, insiden kedua pula berlaku pada 31 Oktober 1978 ketika pasukannya sekali lagi ditugaskan di Kroh, sebelum helikopter Nuri dinaiki ditembak komunis.

“Dalam kejadian itu, seorang lagi rakan setugas, Lans Koperal Mohd Sibki Mat Noh rebah terkena tembakan musuh di bahagian dada,” katanya.

Semangat juang tinggi untuk memikul tanggungjawab

Mohsain berkata, walaupun nyawa menjadi taruhan, beliau tidak gentar, malah menaikkan lagi semangat untuk meneruskan tugas.

“Rakan sepasukan sentiasa memberi semangat, walaupun ada rakan lain yang terkorban ketika melaksanakan tugas yang telah diamanahkan,” katanya.

Hasil pengorbanan dan dedikasi dalam tugas, Mohsain telah dianugerahkan Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1979.

“Selepas selesai operasi bersama helikopter Nuri, saya terlibat dengan beberapa lagi operasi lain bersama pesawat C-130H milik TUDM,” katanya yang memulakan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1971.

“Saya direkrut di Pusat Latihan Rekrut TUDM Kinrara, kemudian ditugaskan di Pangkalan TUDM Sungai Besi Kuala Lumpur,” katanya.

Mohsain berkata, beliau juga berpeluang menyertai kursus berkaitan pertahanan udara selama empat bulan di Australia.

“Saya perlu mempraktikkan segala ilmu yang telah dipelajari di Australia ketika ditugaskan di Pangkalan TUDM Butterworth, Pulau Pinang,” katanya.

Berharap penerima Pingat KPK terima elaun kenangan

Mohsain kemudian bertugas di TUDM Kuala Lumpur sehingga bersama pada tahun 1992.

“Saya berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun kenangan kepada penerima Pingat KPK,” katanya.

Mohsain berkata, dalam Warta Kerajaan Persekutuan, terdapat lima Pingat Kepahlawanan iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), Pingat Gagah Berani (PGB), Pingat Tentera Udara (PTU), Pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) dan Pingat KPK.

“Malangnya saya dan rakan-rakan lain yang menerima Pingat KPK tidak tersenarai dalam pemberian elaun ini.

“Empat daripada lima pingat ini telah lama menikmati pemberian elaun setiap bulan antara RM1,000 hingga RM2,000, namun kami penerima Pingat KPK tidak pernah diberi sebarang elaun,” katanya.

Mohsain antara penerima anugerah KPK pada tahun 1979.
Mohsain antara penerima anugerah KPK pada tahun 1979.

Mohsain berkata, beliau dan rakan-rakan seperjuangan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi mempertimbangkan pemberian elaun kenangan kepada mereka.

“Kami melalui saat-saat genting dan amat berbahaya apabila helikopter diserang hendap sehingga ada yang terkorban,” katanya.

Nuri

Suatu ketika dulu,

kau gah di angkasa biru,

menjadi kebanggaan TUDM,

Nuri, si ‘burung besi’ tidak pernah mengecewakan

Nuri terlibat dalam misi, mencari, menyelamat dan berbagai lagi.

Juruterbangnya mahir dan berani,

Anak kapal apatah lagi, sentiasa berpegang kepada slogan so others may live,

Nuri terus berkhidmat tanpa henti, di hutan, di laut turut diharungi,

Walaupun di bedil peluru musuh, Nuri masih tetap teguh,

Nuri kembali ke pangkalan dengan selamat.

Hebatnya Nuri ketika itu,

Namun kini, ia hanya tinggal kenangan,

Khidmat Nuri telah ternoktah.

Walaupun diganti, namun ia tidak sama,

Nuri tetap menjadi kenangan sampai akhir hayat.

-Veteran TUDM, Mohsain Hashim