JMG, SPAN kaji punca pencemaran Sungai Rui, Gerik

Dr Xavier Jayakumar melihat mesin memproses kayu pokok Eucalyptus untuk dijadikan papan lapis ketika mengadakan lawatan kerja ke ladang Eucalyplus di Lenggong hari ini. - Foto Bernama
Dr Xavier Jayakumar melihat mesin memproses kayu pokok Eucalyptus untuk dijadikan papan lapis ketika mengadakan lawatan kerja ke ladang Eucalyplus di Lenggong hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LENGGONG - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan melakukan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca pencemaran air yang berlaku di Sungai Rui, Gerik.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata JMG telah mewujudkan 'task force' untuk mengenal pasti langkah-langkah penyelesaian dan pengawalan terhadap isu pencemaran air di sungai berkenaan dengan melakukan persampelan air secara berkala di beberapa lokasi yang telah ditetapkan.

Katanya pihak JMG akan menyediakan data-data lokasi dan pemetaan terhadap maklumat lombong, pembalakan, pertanian, industri, Loji Rawatan Air (LRA) Lembaga Air Perak dan telaga air JMG di Hulu Perak.

"Keputusan akan diketahui sekurang-kurangnya seminggu selepas selesai kajian dilakukan dan kita tidak mahu menuding kepada satu pihak sahaja tanpa mengenal pasti secara terperinci punca pencemaran itu berlaku," katanya.

Xavier bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang Eucalyptus yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Akhirrudin Mahmud serta beberapa duta asing di Bukit Sapi di sini hari ini. Mengulas lanjut, Xavier berkata sungai itu merupakan sumber air mentah kepada LRA Air Ganda dengan membekalkan air kepada 1,000 penduduk kampung tersebut dengan kapasiti 0.68 juta liter sehari.

Beliau berkata secara umumnya, struktur geologi di kawasan Klian Intan, Hulu Perak dikenal pasti sebagai zon permineralan yang kaya dengan pelbagai mineral seperti bijih timah dan pada masa sama wujud mineral sulfida seperti 'arsenopyrite' dan 'pyrite'.

"Sebarang aktiviti kacau ganggu tanah atau batuan seperti pembukaan tanah dan perlombongan dijalankan, kewujudan mineral sulfida ini secara langsung menjadi punca berlakunya fenomena penghasilan larutan asid secara semula jadi sebagai saliran lombong berasid.

"... ia akan menyebabkan proses tindak balas kimia yang akan melarutkan logam oksida yang akhirnya membebaskan elemen logam berat seperti arsenik, besi, plumbum, zink dan nikel ke dalam air dan sekiranya tiada kawalan, ia akan masuk ke dalam sungai yang berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khamis lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata pencemaran sungai itu berlaku kerana dipercayai mengandungi kandungan arsenik hasil pemantauan pihak JMG negeri di sungai berkenaan, baru-baru ini. Abdul Aziz berkata kualiti air di Sungai Rui telah mengalami tahap kekeruhan atau kelodakan, nilai pH dan kehadiran logam berat di sungai tersebut berpunca daripada aktiviti perlombongan selain aktiviti pertanian, pembalakan dan pembinaan yang berlaku di sekitar kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai lawatannya hari ini, Xavier berkata pokok Eucalyptus dilihat berpotensi sebagai satu daripada spesies yang ditanam melalui Program Pembangunan Ladang Hutan.

Beliau berkata ini kerana tempoh pulangan yang singkat antara tujuh hingga lapan tahun menjadikan ia satu peluang yang baik untuk para pelabur yang berminat untuk membangunkan penanaman pokok tersebut yang mampu memberi pulangan yang lumayan.

"Kita akan buat kajian mengenai penanaman pokok Eucalyptus ini yang boleh dijadikan pelbagai produk seterusnya menjadi sumber pendapatan negara pada masa akan datang dan kita tidak hanya bergantung kepada kelapa sawit semata-mata. - Bernama