Penghantar makanan maut dilanggar di lampu isyarat

Rakaman video papan pemuka memaparkan detik-detik sebelum mangsa dianggar SUV berkenaan. Foto Facebook
Rakaman video papan pemuka memaparkan detik-detik sebelum mangsa dianggar SUV berkenaan. Foto Facebook
A
A
A

KLANG - Seorang penghantar makanan maut manakala seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru-Jalan Haji Sirat, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 2.30 petang melibatkan dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail, dua motosikal dan sebuah Proton Wira.

"Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Nissan X-Trail di lorong ketiga hendak membelok ke kanan dan tiba-tiba sebuah lagi Nissan X-Trail yang berada di lorong keempat jalan terus ke hadapan dan berlaku pelanggaran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Vijaya Rao berkata, akibat pelanggaran itu, kedua-dua Nissan X-Trail telah terbabas lalu merempuh dua motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Wira.

"Penghantar makanan seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dan penunggang sebuah lagi motosikal lelaki berumur 29 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital," katanya.

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan berkenaan. Foto Facebook
Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan berkenaan. Foto Facebook

Kejadian itu tular selepas rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan di laluan bertentangan kenderaan suspek memaparkan dua buah SUV terbabit bergesel lalu bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa.

Vijaya Rao berkata, kedua-dua pemandu SUV yang berusia 20 dan 24 tahun terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fadli Ismail di talian 017-2141318," ujar beliau.