X

Kindly register in order to view this article
!

India mahu lancar serangan baharu ke atas Pakistan?

Pakistan menembak jatuh jet pejuang India ketika ketegangan memuncak antara kedua-dua negara pada akhir Februari lalu.
A
A

KARACHI - PAKISTAN. Pakistan mempunyai maklumat risikan boleh dipercayai yang mendedahkan India akan melancarkan serangan sekali lagi pada bulan ini.

Perkara itu didedahkan Menteri Luar, Shah Mahmood Qureshi, hari ini selepas ketegangan antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu semakin reda.

"Serangan baharu itu mungkin akan berlaku antara 16 dan 20 April.

Duta anggota tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) di Islamabad telah dimaklumkan tentang rancangan itu, dua hari lalu.

"Saya bertanggungjawab ke atas kenyataan ini.

Saya tahu apa yang saya katakan ini akan menjadi berita utama akhbar antarabangsa," kata Qureshi dalam sidang media di Multan.

Menurutnya, tindakan ketenteraan itu dirancang untuk meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Pakistan.

Qureshi bagaimanapun tidak memberi butiran jelas tentang bukti yang diperoleh Pakistan atau bagaimana beliau boleh begitu yakin dengan tarikh diberikan itu.

Difahamkan, Perdana Menteri, Imran Khan telah bersetuju untuk berkongsi maklumat tersebut.

Khan telah menuduh kerajaan pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) sengaja mencetuskan perang ketika India menembak jatuh jet pejuang F-16 milik Islamabad ketika konflik meruncing pada Februari lalu.

Serangan udara dilancarkan India ke atas kem kumpulan militan Jaish-e-Mohammed (JeM) di barat laut Pakistan juga mencetuskan persoalan banyak pihak selepas imej satelit hanya menunjukkan kesan kemusnahan kecil.

Insiden serangan pengeboman berani mati dilancarkan JeM menyasarkan konvoi pasukan separa tentera telah meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa pada 14 Februari lalu dan konflik itu memuncak selepas India mendakwa ia membedil kem latihan kumpulan militan terbabit pada 27 Februari lalu. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!