X

Kindly register in order to view this article
!

Pihak industri, institusi TVET perlu tingkat kolaborasi: TPM

Wan Azizah ketika meninjau pameran yang disediakan sempena Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Politeknik Malaysia di PUO hari ini.
A
A

IPOH - Pemain industi digesa sentiasa berkomunikasi dengan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Malaysia (TVET) berhubung keperluan tenaga kerja di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah itu bagi mengelak berlakunya percanggahan atau mismatch di antara keperluan industri dan graduan yang dihasilkan.

Menurutnya, perkara itu juga selari dengan harapan kerajaan yang mahu melihat pihak industri terlibat lebih aktif supaya teknologi terkini dikongsi bersama terutama di politeknik.

"Sebelum ini pun sudah ada kerjasama seperti ini, cuma kita mahu beri penekanan yang lebih, saya difahamkan kolaborasi dengan pihak-pihak industri ini membolehkan mereka yang membuat latihan diserap secara terus.

"Contohnya chef, saya dimaklumkan ada yang dibawa hingga ke pertandingan seperti di Rusia pada 2020 nanti dan mereka ini memang dicari oleh hotel-hotel untuk dijadikan pekerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Politeknik Malaysia di Politeknik Ungku Omar (PUO) hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPJKK), Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz.

Sementara itu dalam ucapannya, Wan Azizah menyarankan agar politeknik terus memperkasakan aktiviti kolaborasi bersama pihak industri melalui konsep teaching factory dengan menambah penglibatan industri di dalam pelbagai bidang.

Katanya, selain melibatkan apprenticeship, work-based learning dan learn and earn, konsep itu juga merangkumi industry education centre, di mana pihak industri sendiri akan menjalankan sebahagian daripada proses di politeknik dan pelajar dapat merasai suasana industri sebenar di kampus.

"Ini kerana terdapat keperluan untuk menganjak amalan industri seperti di kilang kepada persekitaran pembelajaran dan membawa amalan pembelajaran kepada persekitaran kilang," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan pada masa kini berdepan cabaran menyelesaikan perkara berkaitan institusi TVET termasuklah pertindihan yang merangkumi sistem pendidikan, pensijilan, kekangan dana pembangunan serta ketidaktentuan nasib graduan.

Katanya, berdasarkan struktur sedia ada, terdapat enam kementerian melaksanakan TVET mengikut sistem pendidikan masing-masing iaitu Kementerian Pendidikan; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Kita berharap dengan tertubuhnya Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, ada impak positif dapat dilihat dalam menangani isu ini. Jawatankuasa ini diharap dapat melaksanakan penyelarasan dan rasionalisasi merangkumi governan, penjenamaan, kualiti, industri dan pembiayaan," katanya.

PUO merupakan politeknik pertama di Malaysia ditubuhkan pada 1969 dan sehingga kini terdapat 36 politeknik seluruh negara sementara kolej komuniti (102).

Sepanjang 50 tahun penubuhannya, lebih 600,000 graduan pelbagai bidang pendidikan TVET dilahirkan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di negara ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus