Lin Dan raih kejuaraan kedua Terbuka Malaysia

Lin Dan (kanan) bergambar bersama Chong Wei (tengah) dan Chen Long (kiri) selepas Perlawanan Akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. -Foto Bernama
Lin Dan (kanan) bergambar bersama Chong Wei (tengah) dan Chen Long (kiri) selepas Perlawanan Akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

JUARA Olimpik dua kali dari China, Lin Dan merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali kedua selepas menewaskan bintang sensasi senegara, Chen Long, di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Pada aksi final yang penuh mencabar, Lin Dan kalah pada set pertama 9-21 sebelum bangkit untuk meraih kemenangan pada set berikut 21-17, 21-11 pada pertarungan selama 78 minit dan membawa pulang hadiah wang tunai AS$49,000 (RM200,417).

Kejayaan itu turut membawa kenangan manis kepada legenda badminton dunia itu apabila musuh tradisi yang juga kawan baiknya, Datuk Lee Chong Wei diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepadanya.

Kejayaan tersebut merupakan gelaran utama pertama buat Lin Dan dalam tempoh dua tahun selepas mengalahkan Chong Wei 21-19, 21-14 pada final edisi 2017 di Kuching, Sarawak.

"Kejayaan ini amat bermakna buat diri saya kerana ia membuktikan sesi latihan persendirian saya membuahkan hasil yang cukup baik sekali. Mana-mana kejohanan di Malaysia sentiasa rumit.

"Kemenangan ini adalah untuk kelab peminat saya yang sentiasa memberi insipirasi kepada saya untuk membuat kemunculan semula selepas dua tahun tanpa sebarang gelaran utama.

"Ini adalah penghormatan bagi saya untuk menerima hadiah daripada Chong Wei. Saya sendiri tidak pernah diberi peluang untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang,” kata Lin Dan.

Beliau juga mengakui bahawa acara perseorangan lelaki semakin sengit dalam kalangan pemain senior dan bintang meningkatkan ke arah kempen kelayakan Sukan Olympik Tokyo 2020.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemain wanita nombor satu dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan mengambil masa 40 minit untuk merangkul gelaran acara perseorangan wanita selepas mengalahkan pemain Jepun, Akane Yamaguchi 21-16, 21-19. -Bernama