DUN Johor tolak tubuh jawatankuasa khas Anti Lompat Parti

DUN Johor pada Khamis, menolak penubuhan jawatankuasa jawatankuasa pilihan khas bagi Enakmen Anti-Lompat Parti.
DUN Johor pada Khamis, menolak penubuhan jawatankuasa jawatankuasa pilihan khas bagi Enakmen Anti-Lompat Parti.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis menolak rundingan cadangan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi enakmen Anti Lompat Parti.

Speaker DUN, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memaklumkan, seramai 37 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak bersetuju manakala 13 ADUN bersetuju setelah undian dijalankan.

Sebelum itu, usul berhubung cadangan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi enakmen Anti Lompat Parti di peringkat DUN dikemukakan Marina Ibrahim ( PH-Skudai).

Dua ADUN PH iaitu Amira Aisya Abd Aziz (Muda- Puteri Wangsa) dan Arthur Chiong Sen Sern (PKR- Bukit Batu) tampil berbahas menyatakan sokongan manakala dua ADUN BN iaitu Anuar Abd Manap (Pemanis) dan Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) pula membantah cadangan tersebut.

Amira Aisya berkata, sekiranya tiada usaha dari DUN Johor untuk mengusulkan enakmen Anti Lompat Parti diluluskan, rakyat akan memandang serong dan berputus asa terhadap masa depan negeri.

"Tidak perlu saya ulang lagi tragedi lompat-melompat yang telah berlaku sejak dua tahun lepas.

"Kerajaan Johor yang lepas telah acap kali berjanji untuk meneliti enakmen Anti Lompat Parti ini. Dalam kempen Ikhtiar Reformasi Politik, saya masih ingat, ini perkara utama yang dibangkitkan mereka.

"Tidak boleh tangguh atau lengahkan. Semua ADUN Johor harus sepakat untuk tolak politik lompat melompat dan beri sokongan kepada enakmen ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anuar berkata, pelaksanaan enakmen berkenaan cukup penting namun berpandangan penubuhan jawatankuasa khas bagi menkajinya suatu pembaziran kewangan dan masa.

"Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, telah lengkap tanpa perlu membuang masa untuk dikaji. Justeru, tiada keperluan untuk diadakan jawatankuasa.

"Sebagai pembuat dasar, maka eloklah jika kita benar-benar memahami perjalanan RUU ini. Jangan pula selepas ini di luar dewan kata ADUN BN menolak RUU ini. Kita tak tolak RUU. Kita tak setuju ialah rundingan untuk tubuh jawatankuasa kaji dan cadang ini sahaja.

"Ia boleh diangkat dan dibawa ke peringkat negeri selepas diwartakan dan saya berasakan masih ada banyak lagi rundingan yang membawa manfaat boleh dibahaskan di dewan ini," katanya.

Pada 28 Julai lalu, pindaan RUU Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan di Dewan Rakyat.

Seterusnya pada 9 Ogos lalu, RUU berkenaan turut diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara.