Melayu kena pandai rebut peluang: Dr Noor Azmi

Dr Noor Azmi
Dr Noor Azmi
A
A
A

BAGAN SERAI - Orang Melayu di negara ini perlu mempunyai keberanian dan kepandaian merebut peluang meningkatkan taraf kehidupan ditawarkan kerajaan tanpa perlu bergantung kepada subsidi semata-mata.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya tidak menafikan keperluan penyaluran bantuan bersesuaian kepada orang Melayu berpendapatan rendah terutama golongan pesawah, nelayan, pekebun kecil dan peniaga kecil ketika ini.

Bagaimanapun, beliau menyokong saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyarankan Melayu supaya lebih berdikari untuk meningkatkan taraf kehidupan masing-masing dari sudut positif.

“Semua orang tidak boleh nafikan orang Melayu ialah kaum yang banyak bergantung kepada subsidi. Berbeza dengan kaum lain, mereka masih mampu berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya kerana mereka sedar tiada bantuan subsidi akan diterima sekiranya mereka tidak berjaya.

“Saya tidak mengatakan bantuan subsidi tidak bagus kerana saya antara individu lantang menyuarakan hak kepentingan pesawah dan petani di Parlimen, namun sudah tiba masa Melayu berani rebut sebarang peluang ditawarkan kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan subsidi,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, di bawah pentadbiran kerajaan PH, kepimpinan negara berpeluang untuk membetulkan kembali minda dan mentaliti Melayu supaya lebih yakin dengan kebolehan diri sendiri dalam meningkatkan ekonomi masing-masing.

Menurutnya, kerajaan PH sudah menguar-uarkan tiada sikap pilih kasih dalam pentadbiran baharu, jadi orang Melayu kena melihat senario ini sebagai satu peluang untuk kembali bangkit menjadi bangsa berdikari dan lebih disegani kelak.

“Dewasa kini, sifat rajin saja tidak cukup untuk menjadikan ekonomi orang Melayu kaya. Sebaliknya kita kena pandai cari dan rebut sebarang peluang ditawarkan pihak kerajaan supaya tidak terus ketinggalan berbanding kaum lain.

Artikel Berkaitan:

“Saya fikir Tun M lebih memahami keperluan orang Melayu pada masa hadapan dan saya harap kita dapat menerima saranan beliau dari sudut positif,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, beliau akan terus menumpukan usaha memberikan perkhidmatan terbaik dan membawa limpahan pembangunan terhadap rakyat Bagan Serai pada masa hadapan selepas mengambil keputusan menyertai Bersatu baru-baru ini.

“Kini, saya sudah boleh fokus meneruskan pelbagai bentuk program kebajikan dan sumbangan kepada rakyat memerlukan tanpa masalah kerana sudah dibekalkan peruntukan sebagai wakil rakyat menyokong kerajaan bermula tahun hadapan,” katanya.