SOP baharu JKPWAS digubal, tangani isu kerakyatan: Azis Jamman

Azis Jamman
A
A

KOTA KINABALU - Isu kerakyatan, khususnya di Sabah, akan ditangani menerusi Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang akan digubal untuk diguna pakai oleh Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata kerajaan akan mengumumkan SOP baharu tersebut apabila tiba masanya.

SOP baharu ini bukan sahaja untuk menangani isu dokumentasi rakyat di Sabah tetapi juga di Semenanjung, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Warisan Sabah Sepanggar, di sini hari ini.

"JKPWAS ini akan diaktifkan dengan polisi-polisi atau SOP yang akan diputuskan nanti bagi memastikan isu dokumentasi ini dapat diatasi," katanya.

Pada persidangan hari ini yang turut menyaksikan pemilihan anggota jawatankuasa parti itu, Azis yang bertanding Ketua Warisan Sepanggar menang tanpa bertanding.

Sementara itu, mengulas penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah semalam, Azis berkata ia merupakan hak mana-mana parti untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah ataupun negeri-negeri lain.

Katanya beliau juga yakin rakyat Sabah tahu menilai dan akan memilih wadah perjuangan yang sesaui dengan mereka.

"Kita akan sentiasa bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun kita bukan komponen PH dan kemasukan Bersatu ke Sabah merupakan proses demokrasi," katanya.

Semalam, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir mengumumkan parti berkenaan secara rasmi bertapak sekali gus melebarkan sayap ke Negeri Bawah Bayu. -Bernama