Proses pendidikan politik harus dilakukan: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Proses pendidikan politik harus dilakukan terutamanya dalam kalangan kader-kader parti bagi membawa satu transformasi menyeluruh dalam konteks mempersiapkan parti dengan budaya baharu yang lebih luhur.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perubahan budaya tersebut penting dan perlu berteraskan nilai akhlak, akidah dan syariat seperti yang ditentukan oleh ALLAH SWT.

Ujar beliau, saranan berkenaan dibuat susulan mengambil kira titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menekankan elemen kemunafikan dan korupsi dalam politik Melayu.

“Saya kira ini mustahak selain daripada kita harus segera melakukan pembaikan di kalangan seluruh warga parti untuk menjiwai rasa takut kepada ALLAH dalam kita berpolitik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral di Kompleks Kumpulan Karangan pada Khamis.

Ulas Asyraf Wajdi, mesej yang disampaikan di sebalik buku berkenaan amat bertepatan dalam mencerminkan suasana politik Melayu masa kini.

“Saya kira perlu kita telusuri maknanya dan kita lakukan proses pembaikan yang tuntas kerana ini menyentuh soal jatuh bangun tamadun dan masa depan negara serta bangsa kita.

“Dalam konteks ini saya kira agenda membanteras rasuah, korupsi dan nilai-nilai kemunafikan yang boleh menghancurkan serta meruntuhkan institusi politik Melayu itu harus segera kita lakukan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: