Bajet 2023: KKM kemuka enam inisiatif berjumlah RM3.4 bilion

Khairy ketika temu bual khas sempena setahun pencapaian beliau menerajui Kementerian Kesihatan di kementeriannya pada Rabu. - Foto Bernama
Khairy ketika temu bual khas sempena setahun pencapaian beliau menerajui Kementerian Kesihatan di kementeriannya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengemukakan enam permohonan inisiatif baharu berjumlah RM3.4 bilion untuk dimasukkan dalam Bajet 2023.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, inisiatif tersebut merangkumi antaranya penambahbaikan dan baik pulih fasiliti kesihatan yang dijangka menelan kos RM791.5 juta dan pengukuhan program penjagaan kesihatan dan kesejahteraan (RM738 juta).

"Tidak ketinggalan aset perubatan yang kritikal dan usang yang memerlukan anggaran RM400 juta, pendigitalan perkhidmatan kesihatan (RM460 juta) dan insentif penghargaan anggota kesihatan (RM183 juta).

"Permohonan ini telah dibentangkan melalui sesi libat urus bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 30 Ogos lepas," katanya pada sidang akhbar sempena setahun perkhidmatannya sebagai Menteri Kesihatan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan yang baik boleh dicapai sekiranya kemudahan kesihatan mencukupi dan berfungsi dengan baik.

Menurutnya, sebanyak 2,732 klinik kerajaan didapati berada dalam keadaan usang terutama di kawasan luar bandar masih beroperasi untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

"Saya sangat sedih melihat keadaan kebanyakan klinik kerajaan khususnya di kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Khairy berkata, bajet khas daripada Kementerian Kewangan itu akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur bangunan dan peralatan perubatan tambahan.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap kita bukan sahaja dapat pertingkatkan perkhidmatan kesihatan terutama di kawasan luar bandar tetapi juga menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada pegawai perubatan dan jururawat," katanya.

Ujar Khairy, kementerian berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tengku Zafrul serta rakyat Malaysia yang menyokong cadangan meningkatkan peruntukan KKM kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding peruntukan sedia ada pada kadar 2.10 peratus daripada KDNK.

"KKM juga sedar untuk merealisasikan permohonan ini bukan bermakna kita hendak ia terus dilaksanakan tahun hadapan, mungkin ambil masa dalam tempoh lima tahun kerana kita pun faham kedudukan kewangan negara.

"Namun saya merasakan perkara ini boleh dilaksanakan misalnya melalui peningkatan kutipan hasil atau rasionalkan semula peruntukan terutama subsidi petroleum kepada golongan sasar," katanya.