Bajet 2023: Tiga golongan perlu diberi perhatian

Peniaga kecil dan penjaja jalanan dihimpit modal kecil selain berdepan kenaikan harga barangan mentah menyebabkan kos jualan meningkat. - Foto Bernama (Gambar kecil: Azwardi)
Peniaga kecil dan penjaja jalanan dihimpit modal kecil selain berdepan kenaikan harga barangan mentah menyebabkan kos jualan meningkat. - Foto Bernama (Gambar kecil: Azwardi)
A
A
A

ALOR SETAR - Bajet 2023 seharusnya memenuhi aspirasi rakyat masa kini selain memberi impak yang bersifat mapan.

Pensyarah Kanan Perniagaan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azwardi Md Isa menyarankan agar bajet kali ini merangkumi pembangunan modal insan berteraskan pendidikan sebagai fokus utama.

Menurutnya, tumpuan juga harus diberikan kepada kumpulan yang kurang diberikan penekanan dalam bajet-bajet sebelum ini.

"Tiga golongan yang sewajarnya menerima manfaat Bajet 2023 adalah peniaga kecil dan penjaja jalanan, pekerja yang diberhentikan kerja serta pelajar sekolah.

"Golongan ini sewajarnya mendapat perhatian sejajar dengan matlamat negara, iaitu bersedia bangkit untuk pemulihan ekonomi, industri, kehidupan dan pekerjaan terutama kepada mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Azwardi berkata, peningkatan sara hidup yang melonjak saban tahun menyukarkan kehidupan golongan berpendapatan rendah walaupun kerajaan menegaskan kos sara hidup masih terkawal seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara sekitar 4.7 peratus setiap tahun.

"Keadaan ini sukar diterima oleh kebanyakan rakyat berikutan keupayaan mereka untuk berbelanja seharian semakin terhad.

"Untuk merangka Bajet 2023 pastinya lebih mencabar buat kerajaan memandangkan keadaan ekonomi global juga tidak menentu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peniaga kecil dan penjaja jalanan dihimpit modal kecil selain berdepan kenaikan harga barangan mentah menyebabkan kos jualan meningkat.

"Mereka ini berniaga di merata tempat di kawasan bandar, bahu jalan atau kawasan larangan dan sering dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa.

"Untuk bantu mereka, kerajaan mungkin boleh berikan pengecualian bayaran lesen perniagaan selama setahun. Ia nampak kecil namun berdasarkan keadaan semasa, tindakan itu dapat bantu mereka selain menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan tersebut," ujarnya.

Azwardi juga menyarankan agar infrastruktur untuk tapak perniagaan diberikan perhatian.

"Usaha lain termasuk menaik taraf kawasan pejalan kaki atau ruang tepi jalan utama yang boleh memuatkan peniaga kereta sorong atau kafe bergerak. Bajet ini mungkin boleh disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan untuk diselaraskan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Menurutnya lagi, dalam pembentangan bajet sebelum ini, pekerja swasta dilihat agak terpinggir sedangkan golongan inilah yang banyak diberhentikan kerja apabila negara berdepan kemelesetan ekonomi.

"Kadar pengangguran negara walaupun masih rendah, namun tekanan yang dialami pekerja swasta tinggi.

"Kerajaan perlu wujudkan skim bagi membantu mereka dibuang kerja sekurang-kurangnya selama tiga bulan untuk sokongan kewangan sebelum beroleh kerja lain," ujarnya.

Azwardi memberitahu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed pernah nyatakan, kadar pengangguran pada Jun berkurangan kepada 3.8 peratus, terendah sejak pandemik Covid-19 melanda negara dengan bilangan penganggur berkurang kepada 630,600 orang berbanding 3.9 peratus (637,700 orang) pada Mei 2022.

"Sudah tentu kebanyakan yang termasuk dalam statistik tersebut adalah pekerja swasta," tambahnya lagi.

Menurutnya, aspek modal insan membabitkan pelajar sekolah juga harus diberikan tumpuan, bertepatan dengan aspirasi negara menuju ke arah sebuah negara inovasi.

"Ramai pelajar sekolah berjaya dalam pertandingan inovasi pelbagai peringkat malah hingga ke peringkat antarabangsa.

"Mereka adalah aset penting pemacu ekonomi negara pada masa depan, amat wajar pencapaian mereka diperakui dan diberikan penghargaan sewajarnya oleh kerajaan," ujarnya.

Azwardi tegaskan, kejayaan pelajar dalam pertandingan inovasi amat membanggakan, namun kejayaan itu hilang begitu sahaja ditelan masa.

"Wujudkan biasiswa khas bawah seliaan Kementerian Sains dan Teknologi bagi pelajar cemerlang ini. Mereka adalah pemangkin ekonomi negara pada masa hadapan dan perlu digilap," katanya.

Tegasnya lagi, merakyatkan Bajet 2023 adalah penting kerana rakyat sering dihidangkan dengan kisah pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan namun mereka tidak merasai kemakmuran tersebut.

"Seharusnya setiap peratusan pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemah kepada kesamarataan dari sudut agihan dengan golongan sangat memerlukan atau yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan," katanya lagi.