Papan tanda SUKE ikut piawaian, dapat kelulusan LLM

Prolintas mengesahkan papan tanda beroperasi di SUKE adalah mengikut piawaian ditetapkan dan mendapat kelulusan daripada LLM.
Prolintas mengesahkan papan tanda beroperasi di SUKE adalah mengikut piawaian ditetapkan dan mendapat kelulusan daripada LLM.
A
A
A

SHAH ALAM - Papan tanda yang dipasang di sepanjang Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baharu beroperasi disahkan mengikut piawaian ditetapkan dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Perkara itu dinyatakan oleh Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menerusi anak syarikatnya, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, papan tanda berkenaan dipasang pada gantri yang terletak di setiap 250 meter sebelum persimpangan bercabang, manakala sebagai inisiatif yang diambil pihak perunding dilantik dan syarikat, satu lagi papan tanda tambahan turut dipasang di tengah-tengah cabang simpang di atas papan tanda arah.

“Oleh sebab kekangan kawasan, saiz papan tanda tambahan digunakan adalah lebih kecil berbanding papan tanda sedia ada.

“Walau bagaimanapun, susulan maklum balas dan pandangan orang ramai di media sosial yang tular baru-baru ini, pihak syarikat memutuskan untuk mencabut papan tanda tambahan itu dengan serta-merta agar tidak mengelirukan pengguna lebuh raya berkenaan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, bahagian operasi Lebuhraya SUKE akan terus menambah baik perkhidmatan disediakan dan kini sedang mereka bentuk papan tanda tambahan baharu lebih praktikal yang dijangka siap dalam masa terdekat tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, struktur binaan Lebuhraya SUKE adalah selamat dan mengikut piawaian yang ditetapkan serta menerima kelulusan yang sewajarnya seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Konsesi (CA).

“Ini sekali gus menyangkal dakwaan terdapat bahagian lebuh raya yang sudah beroperasi tidak selamat untuk digunakan.

Artikel Berkaitan:

“Kami menghargai dan menggalakkan pengguna untuk menyampaikan pandangan dan maklum balas bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan di Lebuhraya SUKE terus berada pada tahap yang terbaik,” kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disampaikan terus kepada kami menerusi hotline 1-300-88-9922 atau boleh emelkan ke feedback.suke@prolintas.com.my.